NARATHIWAT (THAILAND): Sambutan Aidiladha di sini dilihat lebih meriah berbanding Aidilfitri apabila kebanyakan penduduk bersemangat melaksanakan ibadah korban.
Situasi itu dapat dilihat apabila ada dalam kalangan penduduk yang bekerja sebagai petani dan pekebun menabung duit lebih awal bagi menjalankan ibadah korban.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Solas Hudin Chenea, 40, berkata, kemeriahan dirasai sanak-saudara termasuk penduduk yang merantau di Malaysia akan pulang meraikan sambutan tersebut.
“Aidiladha amat dinantikan kerana sambutannya lebih meriah apabila ramai penduduk tidak melepaskan peluang menjalankan ibadah korban.
“Selepas solat sunat Aidiladha, kami akan terus melakukan ibadah korban sebelum bergotong-royong memasak hidangan bersama ahli keluarga untuk menjamu tetamu yang hadir,” katanya.
Sementara itu seorang penternak lembu, Pak Ngah, 75, berkata, lembu ternakannya tahun ini mendapat permintaan tinggi daripada penduduk.
Katanya, harga lembu masih berpatutan dan dijual serendah 21,000 baht (RM2,800) seekor.
“Satu bahagian lembu korban, saya jual antara 3,000 baht atau RM400. Setiap tahun permintaan lembu korban sangat menggalakkan.
“Walaupun penduduk berdepan kenaikan kos sara hidup, namun mereka menganggap ibadah korban harus dilakukan kerana ia hanya setahun sekali,” jelasnya. – UTUSAN