TMM 2026: Elang Wah bakal lancar enam bas baharu KL HOHO

TMM 2026: Elang Wah bakal lancar enam bas baharu KL HOHO

BAS KL HOHO berwajah baharu dilengkapi ciri keselamatan termaju dan rendah emisi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Elang Wah Sdn. Bhd. (EWSB), pengendali rasmi perkhidmatan bas pelancongan dua tingkat berbumbung terbuka KL Hop On Hop Off (KL HOHO), bakal melancarkan enam buah bas baharu rendah emisi bulan ini sebagai persiapan awal menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Bas pelancongan berwarna-warni itu dibina khas menggunakan badan aloi aluminium ringan dengan bumbung boleh tarik sepenuhnya di dek atas, dan dipasang pada casis RR3 daripada pengeluar Jerman terkemuka, MAN. Ia dikuasakan oleh enjin diesel spesifikasi Euro VI yang berprestasi tinggi serta mesra alam.

Mempunyai kapasiti 56 tempat duduk, bas MAN ini dilengkapi pelbagai ciri keselamatan termaju termasuk Sistem Brek Elektronik (EBS), Sistem Kawalan Cengkaman Anti-Selip (ASR), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Program Kestabilan Elektronik (ESP) dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).

Bas-bas baharu ini akan beroperasi di dua laluan utama KL HOHO meliputi lebih daripada 40 hentian dan 60 tarikan pelancongan di sekitar ibu negara dari pukul 9 pagi hingga 6 petang setiap hari. Ia turut akan digunakan bagi lawatan malam “KL City of Lights” bermula pada pukul 8 malam setiap hari.

Pengarah Urusan MAN Malaysia, Marc Appelt, memuji langkah EWSB yang menjadi pelanggan terawal di Malaysia menggunakan enjin diesel Euro VI rendah emisi.

“Keputusan EWSB untuk melabur dalam bas Euro VI ketika Malaysia masih dalam peringkat awal pelaksanaan piawaian Euro V menunjukkan pandangan jauh, kepimpinan industri dan komitmen tinggi terhadap kelestarian.

“Euro VI merupakan piawaian semasa bagi semua pendaftaran kenderaan berat baharu di Eropah. Selain mengurangkan pelepasan gas berbahaya, enjin Euro VI juga menawarkan lebih kuasa dan kecekapan bahan api yang dapat menjimatkan kos operasi,” katanya dalam kenyataan.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif EWSB, Syed Azhar Syed Nadzir pula berkata, keputusan untuk memilih MAN sebagai pembekal buat kali pertama dalam tempoh dua dekad adalah berdasarkan keupayaan syarikat itu memenuhi keperluan mendesak menjelang TMM 2026.

“Pasukan di MAN menunjukkan tahap responsif yang tinggi dan berjaya membekalkan casis serta bekerjasama rapat dengan pembuat badan bas untuk memastikan bas disiapkan dalam tempoh hanya lima bulan, walaupun terdapat banyak penyesuaian khusus yang diperlukan.

“Kami teruja untuk menawarkan pengalaman yang lebih selesa, selamat dan bermakna kepada para pelanggan kami melalui bas MAN baharu yang terkenal dengan kebolehpercayaan, kuasa dan keselesaan,” katanya.

Katanya, ebagai persediaan menerima kemasukan pelancong yang lebih ramai sempena TMM 2026, EWSB juga merancang untuk menambah lebih banyak unit baharu sebagai sebahagian daripada usaha penggantian armada menjelang suku kedua tahun 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN