TEL AVIV: Bekas komander tentera Israel, Herzi Halevi, mengesahkan lebih 200,000 rakyat Palestin terbunuh atau cedera sepanjang perang di Gaza dan menegaskan nasihat undang-undang tidak pernah menghalang operasi ketenteraan.
Halevi meletak jawatan sebagai Ketua Staf Angkatan Pertahanan Israel (IDF) pada Mac selepas memimpin pasukan itu sepanjang 17 bulan pertama perang, yang kini menghampiri ulang tahun kedua.
Jeneral bersara itu memberitahu satu pertemuan komuniti di selatan Israel awal minggu ini, lebih 10 peratus daripada 2.2 juta penduduk Gaza terbunuh atau cedera, iaitu lebih 200,000 orang.
Anggaran itu mendapat perhatian kerana hampir menyamai angka semasa yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Gaza, yang dinafikan Israel kononnya sebagai propaganda Hamas, walaupun ia dianggap boleh dipercayai oleh agensi kemanusiaan antarabangsa.
Jumlah rasmi semasa merekodkan 64,718 rakyat Palestin terbunuh di Gaza dan 163,859 lagi cedera, sejak permulaan perang pada 7 Oktober 2023.
Ribuan lagi dipercayai maut, dengan mayat mereka terkubur dalam runtuhan.
Sekurang-kurangnya 40 orang dilaporkan terbunuh pada Jumaat dalam serangan Israel, kebanyakannya di sekitar Gaza City.
Statistik kementerian Gaza tidak membezakan antara orang awam dan pejuang, namun data risikan ketenteraan Israel yang bocor mengenai korban sehingga Mei tahun ini menunjukkan lebih 80 peratus daripada mangsa terbunuh adalah orang awam.
“Ini bukan perang yang lembut. Kami menanggalkan sarung tangan sejak minit pertama. Malangnya, tidak lebih awal,” kata Halevi, menegaskan Israel sepatutnya mengambil pendekatan lebih tegas di Gaza sebelum serangan Oktober.- AGENSI










