KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi percaya parti-parti komponennya iaitu MCA dan MIC akan terus kekal setia bersama BN.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, tawaran-tawaran seperti yang diberi kepada MCA dan MIC untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) adalah perkara biasa terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
“Di mana-mana Pilihan Raya Kecil (PRK), apatah lagi PRN, tambahan pula kalau ada Pilihan Raya Umum (PRU) mesti tawaran-tawaran ini akan dilakukan oleh mereka.
“Saya yakin MCA dan MIC akan tetap bersama-sama dalam BN,” katanya semasa sidang akhbar selepas majlis perasmian Minggu Usahawan Negara (MUN) dan PMKS di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, MCA dan MIC memutuskan untuk tidak bertanding dalam PRN di enam negeri pada 12 Ogos ini.
Sehubungan itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyarankan MCA dan MIC keluar daripada BN ekoran mereka tidak lagi ditawarkan kerusi sewajarnya dalam PRN.
Walau bagaimanapun, kedua-dua parti tersebut sebulat suara menolak sebarang pelawaan untuk menyertai PN.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, hanya mereka yang setia sahaja diperlukan untuk kekal berada dalam UMNO dan BN.
“Kita hanya perlukan ahli-ahli dan pemimpin yang setia untuk berada dalam UMNO serta BN,” katanya. – UTUSAN










