Ahmad Samsuri percaya kejadian kepala air bukan berpunca aktiviti pembalakan - Utusan Malaysia

Ahmad Samsuri percaya kejadian kepala air bukan berpunca aktiviti pembalakan

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN : Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, percaya tragedi kepala air yang berlaku di Jeram Mawar, Air Putih, di sini bukan berpunca daripada aktiviti pembalakan di kawasan tersebut.

Ahmad Samsuri berkata, pembalakan di kawasan itu telah lama dihentikan sebelum ini.

Menurutnya, kerajaan negeri akan berbincang mengenai tragedi tersebut pada mesyuarat kerajaan negeri Rabu ini, termasuk menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat insiden tersebut.

“Insya-Allah kita akan mengadakan perbincangan secara menyeluruh bukan hanya risiko fenomena kepala air di daerah ini, malah juga di kawasan lain.

“Kepala air berlaku apabila hujan lebat berlaku pada waktu singkat yang tertumpu pada satu kawasan dan kita juga akan melihat kembali keberkesanan notis yang ditampalkan di sekitar kawasan perkelahan kerana lazimnya kawasan ini mempunyai papan tanda,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Kawalan Operasi di Balai Air Putih, di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, pihaknya akan turut mengadakan perbincangan dengan pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Hutan serta Bomba dan Penyelamat untuk mengurangkan risiko yang berlaku akibat fenomena kepala air.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan menanggung kos penghantaran jenazah mangsa pulang ke kampung halaman.

Setakat hari ini, enam mangsa tragedi itu telah ditemukan sejak semalam.

Mangsa tersebut ialah Karim Abdullah, 39 dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.

Empat lagi mangsa yang belum ditemukan iaitu Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, Putri Alleya Maisarah Karim, 16.
Putri Nor Fatin Karim, 14, dan tunang kepada Putri Balqis Izzati, iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya