GUA MUSANG: Sebatang pokok tualang gergasi berusia 120 tahun di Kampung Sungai Bayu di sini, akhirnya tumbang. Hampir tiga jam diambil untuk menebang pokok itu bagi memberi laluan pembinaan Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 2A.
Pokok setinggi kira-kira 60 meter dengan ukur lilit batang tiga pemeluk, dianggap ‘kebal’ oleh penduduk setempat selain menjadi mercu tanda sempadan daerah Gua Musang dan Kuala Krai.
Operasi bermula pukul 9.15 pagi, melibatkan lebih 40 petugas dengan pokok berkenaan tumbang sepenuhnya pada pukul 11.46 pagi, disaksikan penduduk kampung yang berkumpul di sekitar lokasi.
Projek Koordinator LTU Pakej 2A, Fizal Irwan Abdul Wahid berkata, kerja menebang dilakukan secara terkawal selepas mendapat kelulusan Jabatan Perhutanan kerana kedudukan pokok tepat di jajaran pembinaan jalan.
Katanya, aspek keselamatan diberi keutamaan kerana saiz pokok yang besar dan berisiko tinggi.
“Langkah keselamatan rapi dilaksanakan termasuk kawalan trafik dan pemantauan berterusan.
“Kerja menebang tamat sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari sebelum pokok itu ditanam semula di kawasan berhampiran,” katanya di sini, semalam.
Seorang penduduk Kampung Sungai Bayu, Saidi Seman, 63, berkata, pokok berkenaan dipercayai antara tualang tertua di kawasan tersebut dan menjadi perhatian penduduk setempat kerana ketinggiannya.
Katanya, pokok itu sering dikaitkan dengan cerita mistik kerana dipercayai menjadi ‘kawasan keras’ serta ada penunggu apabila kerap berlaku kemalangan maut berhampiran jalan berkenaan.
“Unsur mistik berkaitan pokok ini yang didakwa ada penunggu mengikut kepercayaan masing-masing.
“Sepanjang menetap di sini tiada lagi benda aneh menimpa keluarga. Kami lega apabila proses menebang pokok ini berjalan lancar tanpa ada kejadian buruk,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Mukim Relai Utara, Mohd. Sopian Che Seman berkata, pokok tualang itu menjadi sebahagian daripada identiti Kampung Sungai Bayu sejak sekian lama. – UTUSAN










