Ada wakil rakyat Pas tidak mahu dipilih bertanding

Ada wakil rakyat Pas tulis surat tidak mahu dipilih bertanding PRN

AHMAD Samsuri Mokhtardiberi taklimat oleh kakitangan Syarikat Air Terengganu mengenai operasi makmal di Loji Rawatan Air Bukit Berapit, Kuala Nerus, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/SITI KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS : Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar mendedahkan beberapa wakil rakyat Pas negeri ini menghantar surat kepada pucuk pimpinan untuk tidak dipilih bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Beliau berkata, kebanyakan mereka memberi alasan tidak lagi mahu terlibat dengan politik kerana faktor umur dan kesihatan serta memberi laluan kepada lebih ramai muka baharu.

“Mereka ini yang pernah jadi ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) pada penggal lepas tidak mahu bertanding lagi atas sebab tertentu.

“Ini adalah perkara yang sangat unik dalam kalangan pemimpin Pas di Terengganu kerana di tempat-tempat lain, pemimpin (pelbagai parti) berebut-rebut mahu menjadi calon.

“Itu tidak berlaku di Terengganu sebaliknya budaya dan situasi politik di sini lebih harmoni berbanding tempat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian Loji Rawatan Air Bukit Berapit di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata, pihak yang menuduh ekonomi Terengganu tidak berkembang perlu meneliti laporan yang ada mengenai kejayaan yang dicapai negeri itu.

“Tak perlu jadi seorang yang pintar untuk memahami perkembangan (ekonomi) yang berlaku, pihak yang buat dakwaan itu tidak lihat apa yang berlaku.

“Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Terengganu bagi tahun 2022 mencatatkan nilai berjumlah RM37.3 bilion iaitu peningkatan 5.9 peratus berbanding sasaran awal 3.5 hingga 4.5 peratus sahaja.

“Kadar pertumbuhan yang positif ini menandakan ekonomi negeri kita dalam keadaan sihat dan semakin berkembang,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN