PUTRAJAYA: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengeluarkan enam Peraturan Tetap Operasi (PTO) baharu membabitkan bencana dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, keenam-enam draf PTO berkenaan akan dimuktamadkan selepas menjalani beberapa lagi sesi bersama pemegang taruh.
Menurut beliau, PTO baharu itu melibatkan komunikasi bencana, pusat kawalan operasi bencana, pusat kawalan tempat kejadian, bencana nuklear dan radiologi, bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana dan bencana tanah runtuh.
“Kita minta NADMA bukan hanya menggubal PTO tetapi turut mendapatkan pandangan daripada agensi kerajaan, para akademik serta pertubuhan bukan kerajaan misalnya Persatuan Jurutera dan Technologist Board,” katanya kepada pemberita selepas sesi libat urus bersama media di sini hari ini.
Jelasnya, ketika ini terdapat tujuh PTO sedia ada membabitkan banjir dan siklon tropika, industri, jerebu, petrokimia, gempa bumi, tsunami dan kemarau.
Mengulas lanjut, beliau berkata, arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No.20 merupakan mekanisme pengurusan bencana negara yang menggariskan peranan dan tanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap peringkat.
Bagaimanapun, katanya, tidak semua dalam arahan itu digariskan secara terperinci lebih-lebih lagi bencana yang melibatkan pelbagai jenis contohnya gempa bumi dan tsunami termasuk dalam pengurusan komunikasi media bencana.
“Apbila berlaku bencana tanah runtuh antara ‘post mortem’ yang kita terima adalah dari aspek komunikasi, media buat aduan bila berlaku kejadian tidak diduga kadang-kadang di peringkat awal mungkin terlepas pandang dalam aspek memberikan maklumat kepada masyarakat.
“Justeru, dengan adanya PTO kita mengharapkan pengurusan yang auto pilot apabila berlakunya sesuatu kejadian yang tidak meninggalkan aspek komunikasi, kerana perlu ada seseorang yang bergerak untuk cari maklumat,” ujarnya.
Sementara itu, Armizan turut menyeru semua pegawai daerah untuk memulakan mesyuarat dengan ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah bagi memastikan kesiapsiagaan berada di tahap maksimum dalam menghadapi bencana. – UTUSAN