16 tahun tunggu miliki kediaman - Utusan Malaysia

16 tahun tunggu miliki kediaman

A. MALAYEN (empat dari kiri) menerima replika kunci di hadapan Rumah Rakyat Pahang daripada Haris Salleh Hamzah (empat dari kanan) di Kampung Batu Balai di Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Penantian selama 16 tahun, A. Malayen, 56, untuk memiliki kediaman sendiri berakhir apabila dia menerima bantuan Rumah Rakyat Pahang (RRP) bernilai RM75,000 di Kampung Batu Balai di sini.

Sebelum ini, dia bersama keluarganya menetap di rumah orang lain secara percuma atas ihsan pemiliknya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Malayen yang menghidap sakit jantung, tulang belakang haus dan tulang leher retak berterima kasih kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kerana memberikan bantuan RRP.

Ini kerana katanya, dia dan keluarga sebelum ini hanya berangan-angan memiliki kediaman sendiri kerana tidak mampu membeli tanah dan membina rumah kerana kesusahan hidup dialami.

Katanya, dia sudah tidak be­kerja sejak lapan tahun lalu berikutan mengalami masalah kesihatan, iaitu penyakit jantung, tulang belakang haus R3 R4 dan tulang leher retak menyebabkannya hanya tinggal di rumah sepanjang masa.

“Perbelanjaan keperluan dapur dan persekolahan cuma dibiayai oleh isteri dan anak kedua yang bekerja sebagai penjual dan juruwang di sebuah pasar raya di bandar Jerantut yang cuma berpendapatan RM1,350 sebulan.

“Mujur kerajaan negeri prihatin memberikan bantuan RRP bolehlah kami berteduh dengan tenang berbanding sebelum ini menumpang secara percuma di sebuah rumah atas ihsan seorang pemilik selama 16 tahun,” katanya di Kampung Batu Balai di sini semalam.

Beliau menerima replika kunci RRP daripada wakil Menteri Besar dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak, Haris Salleh Hamzah yang turut melawat rumah baharu itu.

Malayen yang mempunyai enam anak berusia antara 10 hingga 26 tahun berkata, anak sulungnya tidak bekerja kerana mengalami masalah kesihatan manakala anak bongsunya orang kurang upaya (OKU) dan belajar di kelas Murid Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Batu Balai serta mempunyai komplikasi penyakit hati.

“Saya juga berterima ka­sih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana memberikan bantuan bulanan RM350 dan bolehlah belanja pengangkutan ke bandar Je­rantut dan hospital di Temerloh untuk rawatan susulan penyakit ini,” katanya.

Dalam pada itu, Haris Salleh menjelaskan, kerajaan negeri prihatin serta cakna dengan keperitan hidup Malayen yang bukan sahaja menghidap pelbagai jenis penyakit malah tiada tempat tinggal tetap. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN