Zamani ‘pulang’ semula ke Rumah Pengasih - Utusan Malaysia

Zamani ‘pulang’ semula ke Rumah Pengasih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN 2015 menjadi tahun gelap untuk penyanyi bersuara emas, Zamani. Ketika itu awan mendung mula memayungi hidupnya, terutama ketika dia ‘dipaksa’ mendaftarkan diri ke Rumah Pengasih.

Bukan mudah untuk dia membuang status dan ego sebagai seorang artis. Kehidupan di Rumah Pengasih berbeza. Dia sudah biasa hidup mengikut aturan sendiri tetapi di situ, dia perlu mengikut peraturan.

Namun kepahitan yang dirasakan itu cuma sementara. Dia sedar, Tuhan menyusun hidupnya sebegitu kerana memberi dia peluang untuk berubah. Menjadi manusia yang ada akal budi, menjauhi musuh negara, dadah.

“Saya disabitkan dengan kesalahan memiliki dan menggunakan dadah. Jadi bila dimasukkan ke Rumah Pengasih, mula-mula saya tak rela. Rasa dipaksa. Semua benda jadi susah. Nak bangun pagi pun susah.

“Empat bulan saya ambil masa untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di sini. Rutin harian yang mungkin mudah dilihat orang, saya anggap susah. Bangun subuh, makan enam kali sehari, itu sukar.

“Tetapi bila saya lihat dari sudut positif, semua itu mengajar saya untuk jadi manusia. Kembali hidup bermasyarakat. Disiplin dalam hidup. Itu saya pegang sehingga sekarang. Buang segala ego, keistimewaan sebagai seorang selebriti,” ujarnya.

Kini Zamani ‘pulang’ semula ke Rumah Pengasih. Bukan sebagai penghuni tetapi sebagai antara suara yang bakal menggegarkan Auditorium RTM Kuantan menerusi Konsert Kasih Pengasih pada 1 Julai nanti.

Konsert yang bertujuan mengutip dana bagi kelangsungan Rumah Pengasih itu juga bakal menggabungkan nama-nama besar dalam industri seperti Amir Ukay’s, Ameng Spring dan kumpulan Iklim.

Jelas Zamani, sebagai insan yang pernah bernafas menjadi antara penghuni di situ, dia mahu memberi semula dan mengenang budi tempat yang mengajar dia erti peluang kedua sebagai manusia.

“Ini adalah kemunculan pertama di Rumah Pengasih selepas lapan tahun. Saya mahu bantu Rumah Pengasih untuk kumpul dana. Saya faham dan pernah merasai kesukaran di sini. Bantu mereka yang senasib.

“Ini adalah antara bentuk sumbangan dan penghargaan yang saya mampu berikan. Saya bakal membawakan lima lagu dalam konsert tersebut. Senarai lagu belum muktamad, masih terbuka untuk cadangan.

“Kali ini juga saya bakal beraksi solo, jadi mungkin ada beberapa lagu Slam dan single sendiri yang saya bakal persembahkan. Mungkin juga ada segmen cover songs. Semua itu masih dalam perbincangan,” ujarnya.

LAGU BAHARU, SLAM

Membuka gelanggang bicara tentang perancangan kerjaya, penyanyi Syair Si Pari Pari ini berhasrat melancarkan sebuah single baharu, namun dia masih mencari lagu bersesuaian.

Mengakui sukar mencari material lagu selari peredaran dunia muzik, Zamani bagaimanapun tidak mahu terlalu tertekan dan dalam masa sama, tetap fokus dengan beberapa perancangan konsert.

“Memang saya rancang untuk ada lagu baharu tetapi mahu cari material itu susah. Saari Amri boleh buat lagu tetapi sentuhannya sudah berbeza. Kita juga faham keadaan dia. Kami masih berbincang.

“Saya juga mahukan lagu yang sesuai dengan keadaan vokal sendiri. Saya sedia maklum, vokal sekarang sudah tidak seperti dahulu. Memang ada drop sedikit.

“Untuk Slam pula, memang ada berbincang tetapi kami perlu dapatkan persetujuan semua. Setakat ini Sham sahaja yang belum memberi kata putus. Jadi kami yang lain tunggu sahaja, hormat keputusan dia,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.