PETALING JAYA: Satu kumpulan petugas kesihatan kontrak menggerakkan kempen #sepakatsuarakontrak sebagai ‘usaha terakhir’ memperjuang nasib supaya kerajaan mendengar tuntutan mereka sebelum Kertas Putih Kesihatan dibentangkan di Parlimen bulan ini.
Ia adalah satu lagi kempen besar ketiga petugas kesihatan sejak Julai 2021 apabila doktor kontrak mengadakan mogok yang digerakkan menerusi Hartal Doktor Kontrak dan diikuti Mogok Doktor Malaysia pada April lalu.
Kumpulan ketiga dikenali ‘Petugas Kesihatan Lantikan Kontrak Satu Malaysia’ itu antara lain menuntut perjawatan kontrak mereka disambung atau diserap secara berperingkat dalam sektor perkhidmatan kesihatan awam.
Kumpulan itu melancarkan petisyen dengan poster tertera tarikh 6/2023 dan #sepakatsuarakontrak yang dipercayai sebagai hari untuk menyatakan solidariti terhadap isu perjawatan.
Menerusi pemerhatian satu petisyen di laman change.org menggunakan nama Frontliner Solidarity, mereka terdiri daripada petugas kesihatan yang dilantik secara kontrak semasa Covid-19 melanda negara.
“Ia membabitkan jawatan Pegawai Pembantu Perubatan, Juruteknologi Makmal Perubatan, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Juru X-ray keluaran kolej swasta bagi menyokong perkhidmatan kesihatan yang hampir lumpuh pada masa itu.
“Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) turut memainkan peranan dalam meluluskan pelantikan baharu berstatus kontrak ini. Selaras dengan kelulusan tersebut, Kementerian Kesihatan mengeluarkan surat tawaran pelantikan kontrak kepada calon-calon yang berjaya.
“Dalam kalangan calon berjaya itu, terdapat ‘rakyat’ yang mengorbankan kerjaya asal demi membantu negara. Ada yang ditempatkan jauh daripada keluarga. Dalam tempoh itu, berapa ramai yang telah ‘gugur’ demi menyelamatkan negara.
“Namun, setelah wabak tersebut reda, khidmat petugas kesihatan lantikan kontrak ini tidak lagi diperlukan. Dimanakah keadilan buat mereka,” tulis Frontliner Solidarity.
Setakat pukul 5.30 petang semalam, sebanyak 6,900 individu menyokong petisyen tersebut.
Sementara itu, Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim) menyifatkan Kertas Putih Kesihatan yang dijangka dibentangkan di Parlimen perlu menjamin kebajikan petugas kesihatan dalam meningkatkan mutu sistem kesihatan awam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Dr. Boi Saidi Abd. Razak berkata, keutamaan perlu diberikan dalam mengeratkan kerjasama klinik perkhidmatan awam dan swasta supaya dapat mengurangkan kesesakan pesakit di klinik dan hospital kerajaan.
Katanya, melalui kerjasama itu, kesesakan pesakit yang dapat dikurangkan itu boleh menjamin kebajikan kakitangan dan pegawai kesihatan yang lebih terjaga.
“Kalau boleh kerjasama itu ada di mana boleh berkongsi pesakit di antara swasta dan kerajaan. Kementerian Kesihatan juga sedang merancang Skim Perubatan Madani yang membolehkan pesakit umum datang dan dirawat di klinik swasta serta dibiayai oleh Kementerian Kesihatan.
“Jadi kita harap perkara sebegini ada dan dapat direalisasikan dalam Kertas Putih Kesihatan kerana pesakit tidak perlu lagi bersesak terutamanya di hospital kerajaan,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Kertas Putih Kesihatan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang yang dijadual bersambung minggu depan hingga 15 Jun ini.
Difahamkan Kertas Putih itu menggariskan empat tonggak dan 15 strategi reformasi kesihatan dan akan dilaksanakan sebagai reformasi berperingkat selama 15 tahun meliputi jangka masa pendek, sederhana dan panjang. – UTUSAN