PETALING JAYA: UMNO ‘lega’ selepas DAP tidak berhasrat mencalonkan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Gambaran ‘kelegaan’ itu dikongsikan Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu hantaran di Facebooknya.
“YB Anthony Loke, Setiausaha Agong DAP hubungi saya dan memberi jaminan bahawa Tony Pua tidak akan diletakkan sebagai calon DAP dalam PRN akan datang sebagaimana gesaan saya semalam (kelmarin). Terima kasih YB Anthony Loke Siew Fook,” tulisnya.
Sebelum ini, Asyraf Wajdi mendesak kepemimpinan DAP tidak sesekali meletakkan Tony Pua sebagai calon dalam PRN akan datang sekiranya mahu keharmonian gabungan Kerajaan Perpaduan Malaysia berkekalan.
Ia susulan Tony Pua ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di pekarangan Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, menggelar Barisan Nasional (BN) yang kini membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH), sebagai ‘pakatan korup’.
Selain pemimpin UMNO, dakwaan itu mengundang pelbagai reaksi termasuk daripada Anthony Loke yang menganggap Tony Pua tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan berunsur serangan terhadap mana-mana rakan gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan. – UTUSAN