KOTA KINABALU: Ahli-Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggesa kerajaan untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai tindakan bekas Peguam Negara berhubung isu tuntutan kumpulan yang mendakwa waris Sultan Sulu.
Tindakan bekas Peguan Negara, Tommy Thomas mengutus surat kepada peguam pihak penuntut pada 19 September 2019 tanpa mendapat persetujuan mesyuarat Jemaah Menteri perlu disiasat dengan teliti.
Itu antara perkara disebutkan dalam kenyataan bersama Ahli-Ahli Parlimen GRS iaitu Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (Keningau); Datuk Armizan Mohd. Ali (Papar); Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi); Datuk Jonathan Yasin (Ranau); Datuk Matbali Musah (Sipitang) dan Lo Su Fui (Tawau).
Kesemua mereka mahu siasatan lanjut diambil terhadap mana-mana pihak yang
telah mencetuskan ruang untuk pihak penuntut memanipulasi mekanisme mahupun proses perundangan antarabangsa melalui pendekatan forum shopping’.
“Gesaan kami sejajar dengan pendirian GRS yang sejak dari awal mempertikaikan tindakan bekas Peguam Negara itu dalam menguruskan isu berkaitan tuntutan tidak berasas tersebut.
“Pendirian ini dizahirkan dengan tindakan sembilan pemimpin GRS yang telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 16 Ogos 2022 terhadap bekas Peguam Negara berkenaan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Ahli-Ahli Parlimen GRS juga menyarankan kerajaan persekutuan agar memperkukuhkan tadbir urus untuk memastikan tiada pihak dalam kerajaan pada masa akan datang yang bertindak secara unilateral dalam hal-hal sensitif yang melibatkan integriti wilayah dan kedaulatan tanah air khususnya negeri Sabah. Ia termasuk keperluan untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri Sabah.
Mengulas lanjut katanya, mereka turut menghargai usaha kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah atas strategi dan pendekatan berkesan yang telah diambil dalam menangani isu tuntutan lapan warga Filipina yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu yang telah memfailkan tuntutan di empat negara bermula dari tahun 2019.
Semalam, Perdana Menteri menerusi pembentangan di Dewan Rakyat menyatakan Mahkamah Rayuan Perancis telah membuat keputusan untuk membatalkan Perintah
Pelaksanaan yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Paris pada 29 September 2021 yang mengiktiraf Preliminary Award dikeluarkan pada 25 Mei 2020.
“Kami menyokong penuh ketegasan Perdana Menteri yang menyatakan bahawa kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jenayah menurut undang-undang terhadap mana-mana pihak termasuk warganegara Malaysia yang membelakangkan kepentingan dan keselamatan negara dengan memberi sokongan, bantuan secara langsung mahupun tidak langsung serta bersekongkol dengan pihak yang membuat tuntutan,” katanya.










