PETALING JAYA: Tujuh individu termasuk dua wanita ditahan dipercayai terlibat kes jenayah pecah rumah di sekitar Lembah Klang.
Kesemua suspek berusia antara 22 hingga 32 tahun ditahan di sekitar Wangsa Maju, Sentul dan Gombak dalam serbuan kelmarin hingga semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ini susulan kes pecah rumah yang berlaku pada 3.45 pagi pada 22 Mei lalu semasa pengadu berada di rumah di Taman Pertama dekat sini.
Katanya, pengadu telah terbangun dari tidur dan mendapati ada orang menyuluh lampu ke dalam bilik menonton televisyen di tingkat atas.
“Pengadu terus menjerit lalu orang tersebut melarikan diri turun ke tingkat bawah dan keluar ikut pintu hadapan rumah.
“Pemeriksaan dapati tingkap rumah di bahagian dapur terbuka serta grill telah dicabut dipercayai diumpil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, pemeriksaan mendapati beberapa barangan hilang antaranya komputer riba, beg sekolah anak dan dua telefon bimbit. Kesemua barangan dianggarkan bernilai RM10,000.
Mohamad Farouk berkata, susulan itu, kesemua suspek yang tidak bekerja ditahan sepasukan polis.
“Hasil semakan, tangkapan pertama tiada sebarang rekod jenayah manakala enam yang lain mempunyai rekod jenayah dan kes dadah.
“Ujian air kencing ke atas semua suspek didapati positif dadah,” ujarnya.
Menurutnya, pihak polis turut membuat rampasan beberapa barang seperti telefon bimbit, laptop, alatan dipercayai digunakan untuk kegiatan tersebut serta beberapa kenderaan yang dilaporkan hilang.
“Kesemua suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga 17 Jun ini.
“Modus operandi suspek menyasarkan kawasan perumahan dan hasil siasatan mendapati suspek turut melakukan jenayah pecah rumah dan curi motosikal sekitar Lembah Klang,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 457 Kanun keseksaan atas kesalahan pecah rumah bagi tujuan melakukan curi. – UTUSAN