Tiga beradik maut motosikal bertembung MPV

Tiga beradik maut motosikal bertembung MPV

TIGA beradik maut apabila motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah MPV di Kilometer 7, Jalan Benta/Lamir di Kampung Langgar, Pekan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Tiga beradik maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 7 Jalan Benta/Lamir di Kampung Langgar di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu, mangsa, Nik Ikram Idwan Nik Mohd Khairul Hisyam, 15, serta dua adiknya, Nik Nur Faqihah, 11, dan Nik Ikram Nuqman, 5, yang menunggang sebuah motosikal meninggal dunia di tempat kejadian. 

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu MPV bersama enam penumpang dalam perjalanan dari arah Taman Jambu, Pekan menghala ke Kuantan. 

Katanya, penunggang motosikal pula dikatakan dalam perjalanan dari arah Kampung Lamir menghala ke Kampung Langgar. 

“Apabila sampai di tempat kejadian, penunggang motosikal telah terbabas masuk dalam laluan bertentangan kemudian bertembung dengan MPV yang datang dari arah hadapan,

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal yang menunggang secara melulu sehingga terbabas masuk dalam laluan bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd. Zaidi berkata, kejadian terbabit juga menyebabkan pemandu MPV mengalami kecederaan di tangan sebelah kiri, seorang penumpang mengalami sakit tangan dan seorang lagi penumpang yang merupakan warga emas kini sedang menerima rawatan di Hospital Pekan. 

Mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Pekan bagi tujuan bedah siasatan selepas keputusan ujian Covid 19 diperolehi.

Difahamkan, kesemua mangsa berasal dari Kampung Langgar yang mana Nik Ikram Idwan sudah tidak bersekolah manakala Nik Nur Faqihah merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Langgar. 

Mohd. Zaidi berkata, ketika kejadian keadaan jalan lurus satu lorong dua hala dengan garisan tengah putus-putus.

“Keadaan cuaca ketika kejadian juga baik, cerah dan tidak hujan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya