Teruskan tradisi jual ketupat - Utusan Malaysia

Teruskan tradisi jual ketupat

MUHAMMAD Yusri Mahat (depan) dan anaknya, Ezrul Syafiq menunjukkan ketupat daun kelapa atau ketupat nasi yang sudah dimasak di Kampung Padang, Jalan Pokok Mangga, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Setiap kali tiba musim perayaan khas­nya Aidilfitri dan Aidil­adha, Ketupat Sri Ayu di Kampung Padang, Jalan Pokok Mangga dekat sini pasti menjadi tumpuan ramai.

Pengusahanya, Muhammad Yusri Mahat, 51, berkata, kebanyakan yang datang adalah pe­langgan tetapnya memandangkan dia sudah berniaga di kawasan itu sejak lebih 15 tahun lalu.

“Orang ramai biasanya akan bertumpu di kedai saya pada sebelah petang sehari sebelum sambutan perayaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Menurutnya, dia tetap meneruskan tradisi menjual ketupat daun kelapa atau ketupat nasi dua kali setahun.

Jelasnya, walaupun mendapat sambutan yang baik, dia tidak bercadang menjual ketupat bukan pada waktu dua perayaan tersebut.

“Perniagaan ini sudah menjadi tradisi keluarga setiap kali sambutan Aidilfitri dan Aidiladha. Untuk sambutan Aidiladha tahun ini, saya hanya memasak 6,000 biji ketupat berbanding 8,500 biji sewaktu Aidilfitri yang lalu.

“Walaupun Aidiladha disambut kurang meriah di negeri ini namun saya tetap menjual ketupat kerana mendapat permintaan yang banyak daripada pelanggan,” katanya.

Muhammad Yusri berkata, ketupat yang dijualnya masih mengekalkan harga lama iaitu RM13 untuk satu ikat 10 biji ketupat yang tahan antara tiga atau empat hari.

Menurutnya, dia menyiapkan makanan tradisi itu menggunakan 29 kilogram beras dengan dibantu isteri dan tiga anaknya.

Bagi menganyam ketupat pula katanya, dia terpaksa mengupah enam orang dengan 1,000 helai daun kelapa muda yang perlu disiapkan dalam tempoh dua hari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya