TNB, Casuarina Meru jalin kerjasama pasang pengecas EV di Ipoh - Utusan Malaysia

TNB, Casuarina Meru jalin kerjasama pasang pengecas EV di Ipoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Casuarina Meru Sdn. Bhd. (CMSB) memeterai Memorandum Perjanjian (MOA) bagi memasang kemudahan pengecas kenderaan elektrik (EV) di Hotel Casuarina\@Meru, Ipoh, sebagai langkah ke arah masa depan rendah karbon bagi negeri Perak.

Kerjasama ini selari dengan visi Perak Sejahtera 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), sekali gus mengukuhkan peranan TNB sebagai peneraju peralihan tenaga hijau melalui pembangunan ekosistem EV yang diyakini, mudah diakses dan mampan.

Melalui kerjasama itu juga, TNB akan memasang satu pengecas pantas DC 120 kilowatt (kW) dengan dua muncung CCS2 dan dua pengecas AC 22kW di Hotel Casuarina\@Meru.

Kemudahan ini akan menawarkan akses 24 jam, petak parkir khas untuk EV dan pilihan pembayaran mudah alih yang menjadikan pengalaman mengecas lebih mudah untuk tetamu hotel dan orang awam.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, kerjasama itu merupakan satu sinergi pintar antara syarikat utiliti nasional dan sektor hospitaliti negeri.

“Ia memberi manfaat kepada rakyat, menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan dan menggerakkan agenda hijau negeri.

“TNB amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Perak dan komited untuk menyokong visi Perak Sejahtera 2030 sebagai rakan strategik jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

Melalui jenama TNB Electron, TNB sedang giat mengembangkan rangkaian pengecas EV di lebuh raya, hab komersial dan destinasi pelancongan utama.

Sehingga April 2025, sebanyak 80 titik pengecas telah dipasang di seluruh Semenanjung Malaysia dan akan terus diperluaskan bagi memenuhi permintaan mobiliti lestari yang semakin meningkat.

Sementara itu di Perak, TNB menyasarkan 53 titik pengecasan EV di 20 lokasi dan setakat ini telah memasang 12 titik di enam lokasi utama termasuk RNR Tapah, Gunung Semanggol serta AEON di Taiping, Manjung dan Kinta City.

Pemasangan di Hotel Casuarina\@Meru pula merupakan pencapaian penting kerana ia adalah pengecas pertama TNB di sebuah hotel.

Melihat ke hadapan, beliau berkata, TNB dan Perak Corporation Berhad telah mengenal pasti sekurang-kurangnya 10 lokasi lagi di seluruh negeri untuk pembangunan infrastruktur EV akan datang.

Katanya, kemudahan pengecasan EV baharu ini dijangka beroperasi menjelang suku ketiga 2025 sekali gus mengukuhkan rangkaian mobiliti hijau Perak dan meningkatkan daya tarikan negeri sebagai destinasi pelancongan mesra alam.

Mengulas mengenai peringkat nasional pula, Megat berkata, TNB turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, termasuk Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) serta Perodua bagi memperluas pembangunan dan penggunaan EV di peringkat awam dan komuniti

“Selain itu, TNB juga bekerjasama dengan PLUS Malaysia, AEON Mall, BHPetrol dan Petron Malaysia untuk mengembangkan akses pengecasan pantas di lebuh raya, pusat bandar dan laluan Pantai Timur seperti di Petron Selising (Kelantan) dan Kampung Gemuroh (Terengganu).

“Melalui inisiatif-inisiatif ini, TNB membantu merealisasikan visi NETR untuk mewujudkan ekosistem EV yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan, demi manfaat semua rakyat Malaysia.

“Strategi inklusif kami memastikan akses EV dinikmati semua dan kerjasama ini jadi model kolaborasi pintar yang merangsang pelancongan, memulih komuniti dan galak gaya hidup lestari,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×