TDM sasar pendapatan RM620 juta tahun ini - Utusan Malaysia

TDM sasar pendapatan RM620 juta tahun ini

TENGKU Farok Hussin Tengku Abdul Jalil (tengah) menunjukkan buku laporan tahun 2022 pada Mesyuarat Agung Tahunan TDM Ke-58 di Kuala Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kumpulan TDM Berhad (TDM) yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu menyasarkan pendapatan sebanyak RM620 juta pada tahun ini berbanding pendapatan berjumlah RM614.4 juta tahun lalu. 

Pengerusi TDM, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, pihaknya akan terus mengutamakan rasionalisasi kos bagi mengurangkan kesan turun naik harga minyak sawit dan produk berkaitan pada tahun ini.

Menurutnya, pelaksanaan beberapa inisiatif pendigitalan di bahagian penjagaan kesihatan dijangka dapat meningkatkan pengalaman yang lebih positif dan menjadikan pusat perubatannya sebagai penyedia penjagaan kesihatan pilihan utama.

“Inisiatif-inisiatif ini dijangka memberi impak positif kepada keuntungan Kumpulan dan menyumbang kepada pertumbuhan berterusan bahagian perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan TDM Ke-58 di sini, hari ini.

Tengku Farok Hussin berkata, TDM juga melanjutkan Visi 2025 kepada Visi 2037 bersama Pelan Strategik Perniagaan Lima Tahun (2023-2027) melalui penglibatan pihak berkepentingan yang meluas dan analisis kecenderungan risiko bagi kedua-dua segmen perniagaan.

“Dalam tempoh lima tahun akan datang, tumpuan utama kumpulan adalah untuk meningkatkan pendapatan dengan memenuhi permintaan yang semakin meningkat terutamanya dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pelancongan kesihatan.

“Bahagian penjagaan kesihatan akan meningkatkan kapasitinya melalui penambahan katil dan meluaskan lagi perkhidmatan dengan menawarkan rawatan sub-kepakaran baharu,” ujarnya.

Tambahnya, TDM turut merancang untuk mengguna pakai pendekatan ‘asset light’ dengan mengembangkan rangkaian hospitalnya melalui pengaturan pajakan dan jualan pajakan balik.

Selain itu, beliau memberitahu, bahagian perladangan juga secara aktif meneroka peluang untuk meningkatkan kecekapan operasi dan keberkesanan kos melalui pelaksanaan teknik mekanisasi terkini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.