MEKAH: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dijangka menyediakan lebih dua juta pek makanan sepanjang musim haji tahun ini meliputi makan tengah hari dan malam untuk kesemua 31,600 jemaah yang berada di Tanah Suci.
Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, sehingga kelmarin, sebanyak 287,241 pek makanan diedarkan kepada jemaah yang berada di Madinah dan Mekah.
Katanya, daripada jumlah itu, 153,551 pek diedarkan di Mekah manakala bakinya di Madinah. Setiap pek seberat 430 gram itu mengandungi nasi, protein dan sayur.
“Makanan itu dimasak di lapan dapur iaitu dua di Madinah dan lapan di Mekah. Mereka menyediakan hampir 10,000 pek makanan setiap hari.
“Pada waktu kemuncak haji, kita akan menyediakan 50,000 pek makanan sehari. Sebanyak 42 menu citarasa Malaysia dengan pelbagai jenis lauk disediakan berbanding hanya 28 menu pada tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Antara lauk disediakan ialah tomyam, kari ikan, masak hitam, kurma dan masak lemak.
Terdahulu, beliau membuat lawatan di tiga dapur iaitu Restoran Retaj, Taghdiah Advanced Co. Ltd. dan Alwaf Katering di sini yang mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan untuk beroperasi.
Menurut Syed Saleh, tujuan kepelbagaian menu itu supaya memanjangkan kitaran bagi mengelakkan jemaah mendapat makanan sama dalam tempoh pendek, rasa jemu dan pembaziran. Jemaah akan bertemu dengan menu sama selepas 14 hari.
Katanya, Tabung Haji menggunakan rempah premix yang telah diubah suai, pemeriksaan dan ujikaji yang panjang di Malaysia sebelum digunakan di sini.
“Bahan mentah pula diambil dari beberapa buah negara untuk mengekalkan kesegarannya. Kita membawa 18 tukang masak berpengalaman bagi memastikan penyediaan makanan mengikut piawaian dan susunan yang sepatutnya,” katanya.
Beliau berkata, saringan menu dibuat bersama dietitian Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan keseimbangan nutrisi.
Tambahnya, jemaah dinasihatkan makan dalam tempoh dua jam selepas makanan diedarkan dan setiap pek mempunyai label tengah hari atau malam selain peringatan alahan.
“Maklum balas daripada jemaah mengatakan mereka suka menu yang disediakan,” katanya. – UTUSAN











