SPM: Anak pemandu Grab tidak sangka dapat 10A - Utusan Malaysia

SPM: Anak pemandu Grab tidak sangka dapat 10A

AHMAD Thaqif Ahmad Daud bersama ibunya, Amnah Omar, 56, selepas mengambil keputusan SPM 2022 di Sekolah Menengah Raja Dr. Nazrin Shah, Kampung Gajah, hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Banyak bertanya kepada kawan-kawan yang lebih pintar dan sentiasa mendekatkan diri kepada Ilahi, menjadi rahsia kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Ahmad Thaqif Ahmad Daud, 18, pelajar Sekolah Menengah Raja Dr. Nazrin Shah (SARJANA) di Kampung Gajah di sini, yang memperoleh 10A tidak menyangka mencatat pencapaian cemerlang itu kerana hanya menyasarkan 7A berdasarkan keputusan peperiksaan percubaan sebelum ini.

Anak kepada pemandu Grab itu menjadikan masjid di sekolah itu sebagai ‘rumah kedua’ dengan sering mendekatkan diri kepada Allah waktu dinihari selain mengulang kaji pelajaran di rumah ibadat itu.

“Saya tidak sangka boleh menjadi salah seorang daripada dua pelajar terbaik sekolah ini kerana sebelum ini pun saya banyak meminta bantuan daripada rakan-rakan yang cemerlang serta guru, terhadap mana-mana mata pelajaran yang lemah,” katanya.

Beliau yang bercita-cita menjadi akauntan berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan sama ada di universiti tempatan atau menerusi badan profesional seperti Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).

Sementara itu, bagi Rabiatul Adawiah Zulkifli, 18, yang juga memperoleh 10A, memberi tumpuan di dalam kelas dan mendapat tidur mencukupi menjadi antara rahsia kejayaannya.

“Saya jarang tidur di dalam kelas, sentiasa ulang kaji sebelum tidur dan memastikan diri tidur awal.

“Namun, yang paling efektif ialah apabila sering membantu rakan-rakan dengan mengajar mereka topik yang kurang faham, sekali gus membolehkan saya menjadi lebih faham dalam sesuatu mata pelajaran itu,” jelasnya lagi.

Anak kepada Penolong Pegawai Pertanian itu berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang farmasi.

Sementara itu, Pengetua SARJANA, Ahmad Tazally Mohamad Zain berkata, memaklumkan daripada 93 calon SPM sekolah itu, dua orang memperoleh 10A, 13 orang (9A), 10 orang (8A) dan 12 orang mendapat 7A.

Katanya, sekolah agama negeri itu juga mencatat kenaikan Gred Purata Sekolah (GPS) 0.12 iaitu daripada 2.97 pada 2021 kepada 2.85 pada SPM tahun lalu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya