Sesetengah program dipendekkan ke tiga tahun, Unimap sahut seruan KPT - Utusan Malaysia

Sesetengah program dipendekkan ke tiga tahun, Unimap sahut seruan KPT

Zaliman Sauli
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) memendekkan pengajian daripada empat kepada tiga tahun bagi sesetengah program yang ditawarkan di universiti berkenaan.

Naib Canselornya, Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, program itu membabitkan pengajian Sarjana Muda Perniagaan (Keusahawanan Kejuruteraan), Sarjana Muda Perniagaan (Perniagaan Antarabangsa) dan Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu.

Selain itu, katanya, pihaknya juga merancang pelaksanaan sistem pendidikan anjal bermula pada semester pertama 2023/2024 bagi tiga program pengajian berkenaan.

Katanya, Unimap yang membangunkan kerangka pendidikan fleksibel atau University Flexible Education (UFEF) Framework dengan di bawah kerangka berkenaan pengajaran dan pembelajaran di Unimap tidak lagi terikat dengan kaedah konvensional.

“Di mana, penyampaian kursus-kursus akademik di Unimap adalah secara pembelajaran teradun (PT) iaitu secara konvensional dan dalam talian. Kursus akademik dan bukan akademik pula akan ditawarkan secara micro credential atau Massive Open Online Course (MOOC).

“Pada semester dua sesi 2022/2023 sebanyak 30 peratus daripada kursus-kursus akademik yang ditawarkan di Unimap akan disampaikan secara pembelajaran teradun,” katanya.

Tambah Zaliman, pendekatan yang dilaksanakan itu adalah bagi menyahut inisiatif-inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selain memberi jaminan Unimap akan terus melahirkan bakat—bakat terbaik untuk pasaran kerja.

Antara lain katanya, Unimap juga telah melaksanakan program pembangunan Siswa Sulung (Sulung) pada sesi pengambilan 2022/2023 dengan seramai 10 pelajar yang merupakan generasi pertama dalam keluarga mereka berjaya memasuki universiti.

“Mereka adalah dari kalangan keluarga B40 dan mendapat keputusan purata nilai gred kumulatif (PNGK) yang cemerlang sebelum memasuki universiti.

“Selaras dengan perutusan Menteri Pendidikan Tinggi tahun ini, Unimap juga akan meneruskan inisiatif ini dengan mengenal pasti lebih ramai lagi pelajar yang layak untuk menerima bantuan daripada manfaat yang disediakan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Unimap juga sedang membangunkan polisi baharu bagi membolehkan latihan industri dan pembelajaran berasaskan kerja (WBL) dapat dijalankan di dalam universiti berkenaan.

“Dengan penubuhan pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional  (TVET) yang diperkuatkan dengan 10 lab industri termasuk kerjasama dengan pihak industri utama,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya