KALAU namanya media sosial, memang ada segelintir netizen dengan mudah menjatuhkan hukum dan meletakkan persepsi negatif. Apatah lagi, selebriti yang sering kali menjadi mangsa fitnah dan tohmahan yang entah dari mana datangnya.
Baru-baru ini, apabila ada trend yang membandingkan artis bersikap baik dan buruk ketika bersua peminat, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza ada pandangannya sendiri.
Bagi penyanyi Biarlah Rahsia ini, susah untuk menilai sikap baik atau buruk seseorang yang mungkin kali pertama bersua. Apatah lagi, mungkin seseorang itu berada dalam keadaan yang tidak mengizinkan dia untuk beramah mesra.
Apatah lagi, tidak adil bagi seseorang selebriti menerima persepsi negatif hanya menerusi pertemuan pertama dan mungkin ketika itu, individu itu dalam keadaan tergesa-gesa atas urusan peribadi.
“Susah juga sebenarnya untuk kita menilai orang apabila pertama kali jumpa. Mungkin ketika itu individu itu ada masalah sendiri sehingga bila ditegur, dia memberi respons kurang mesra. Setiap orang ada pengalaman sendiri.
“Tidak adil sebenarnya untuk kita menilai seseorang menerusi pertemuan pertama. Semua orang ada moody, hari buruk dia. Tak seronok macam itu. Kenalilah dahulu sebelum jatuhkan hukum, persepsi,” katanya.
Namun dalam sudut pandang seorang selebriti, figura umum seharusnya tahu peminat pasti akan menilai artis kegemaran mereka menerusi apa sahaja tindak tanduk yang dilihat mereka ketika bersua.
Tambah Siti Nurhaliza, dalam keadaan apa sekali pun, penolakan yang dilakukan mestilah tidak bersifat sombong. Sebolehnya nasihatnya, kawal emosi dan memberitahu dengan baik keadaan tidak mengizinkan.
“Memanglah kita pun manusia, ada hati dan perasaan. Tetapi kita sudah menjerumuskan diri kita sebagai seorang figura umum, orang akan menilai dan nampak apa sahaja tindakan yang dilakukan.
“Jangan membiarkan orang nilai kita dengan persepsi negatif. Jaga akhlak dan bersifat baik. Manusia mana yang boleh daripada melakukan kesilapan, tetapi hargailah peminat. Boleh tolak, tetapi dengan cara baik,” ujarnya.
Mengimbas kembali kisah peribadinya, penyanyi Cindai itu mengakui pernah menangis gara-gara tidak boleh mengawal situasi apabila dikerumuni peminat ketika mengadakan persembahan satu ketika dahulu.
“Ada masa saya tak boleh kawal, sampai menangis sebab ramai sangat. Tetapi kalau kita tolak dengan beradab, mereka faham. Peminat kebanyakkan takkan paksa, mereka sekadar cuba bertanya.
“Saya pun faham, perasaan kecewa apabila tak dapat bergambar dengan artis kegemaran kita. Sebab itu saya cuba melayan peminat sebaiknya. Kita perlu akur, peminat adalah kekuatan kita untuk bergerak terus.
“Peminat ini kalau kita usik, senang tular. Bukan tidak pernah saya tolak, mestilah ada momen itu. Minta maaf baik-baik, mesti mereka faham. Itu sebabnya kita juga memerlukan pengurus yang baik,” tambahnya.
KONSERT, ALBUM TRADISIONAL
Bukan kali pertama ibu kepada dua orang anak ini berbicara tentang hasratrnya untuk melancarkan album tradisional baharu. Bertahun lamanya dia memendam impian itu, menanti untuk direalisasikan.
Apatah lagi, dia juga memasang angan untuk kembali semula ke pentas Royal Albert Hall untuk mengadakan konsert berskala besar berkonsepkan tradisional untuk memartabatkan lagi budaya dan kesenian lagu warisan.
“Bagi saya penting bagi semua artis tidak kira baharu atau lama terus membantu memeriah dan memperkaya lagu-lagu rakyat atau warisan kita. Itu akar budaya kita dan menjadi tanggungjawab untuk kita terus martabatkan.
“Apa salahnya jika artis muda merakam semula lagu warisan dan rakyat. Jangan kita terbawa-bawa elemen muzik luar sehingga lupa budaya dan kesenian yang ada di negara kita.
“Itu antara sebab saya mahu menghasilkan sebuah lagi album tradisional dan mungkin jika ada rezeki, kembali semula ke Royal Albert Hall untuk satu konsert berkonsepkan tradisional penuh,” ujarnya.
KONSERT DAVID FOSTER & FRIENDS ASIA
Dalam pada itu, penyanyi Jerat Percintaan itu tidak dapat menyembuyikan perasaan meluahkan rasa teruja dan gementar apabila bakal berkongsi pentas dengan maestro terkemuka, David Foster menerusi persembahan bersama di Konsert David Foster & Friends Asia 2023.
Katanya, impian yang dipendam sembilan tahun lalu ketika kali pertama berkolaborasi di persembahan eksklusif pada 2014 akan terlaksana pada 7 dan 8 Ogos di dua buah negara, Malaysia dan Singapura.
“Kali pertama saya beraksi bersama beliau, saya berdoa itu bukan yang terakhir. Selepas itu saya dipelawa beberapa kali membuat persembahan bersama di Indonesia tapi rezeki tidak menyebelahi saya ketika itu.
“Kali ini saya tidak akan mensia-siakan peluang. Ramai penyanyi muda yang bagus tetapi beliau tetap memilih saya,” katanya.
Bercerita tentang minat terhadap produser terkemuka itu, kekagumannya bermula apabila diperkenalkan oleh komposer, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan ketika awal pembabitannya dalam arena seni suara 25 tahun lalu.
“Saya rakam semula lagu nyanyian asal Celine Dion, The Colour Of My Love dalam album kedua kerana itu lagu Foster yang paling saya minat.
“Suara saya waktu itu nyaring dan kecil, jadi memang boleh bawa lagu itu. Selepas itu, saya terus mengagumi Celine dan lagu-lagunya.
“Sebagai generasi yang membesar dengan lagu ciptaan Foster, walau sekejap persembahan itu, peluang ini sangat bermakna,” katanya.
Bercakap mengenai konsert anjuran Yayasan Prihatin Nasional, penyanyi Cindai itu bakal membawakan sebuah lagu ciptaan komposer terbabit dan sebuah lagi lagu popularnya.
“Berdiri sepentas dengan Foster adalah impian setiap artis. Bila tengok senarai artis turut serta dalam konsert ini, saya rasa sangat kecil.
“Saya belum dikenali di peringkat antarabangsa, saya hanya dikenali di Asia tapi saya percaya belum terlambat untuk dikenali di pentas dunia pada usia 44 tahun.
“Mengenai pemilihan lagu, perkara itu masih lagi dalam perbincangan. Saya ada beri senarai lagu dan menyerahkan soal pemilihan itu kepada pengurusan beliau,” katanya










