‘Selamat atau tidak rumah kami?'

‘Selamat atau tidak rumah kami?’

KEADAAN terkini kawasan rumah yang runtuh akibat hakisan tanah pada pada 5 Januari 2021 di Taman Gambang Damai di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai 20 pemilik rumah Desa Hijauan di Lorong 29 Taman Gambang Damai di sini, yang terjejas akibat hakisan tanah pada 5 Januari 2021 sudah lebih dua tahun menunggu jawapan tentang status kediaman mereka sama ada ia selamat atau sebaliknya untuk diduduki.

Ekoran kejadian itu, 16 daripada mereka terpaksa menyewa rumah manakala empat lagi pemilik memilih terus tinggal di kediaman masing-masing atas risiko sendiri walaupun berlaku retakan akibat hakisan tanah tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pemilik rumah, Md. Nasri Yusuff, 44, berkata, rata-rata dalam kalangan mereka ketika ini berdepan komitmen bulanan sehingga RM2,000 untuk membayar pinjaman kediaman dan rumah sewa.

“Pinjaman rumah berbeza mengikut keluasan antara RM1,300 sehingga RM1,600 sebulan. Itu memang wajib kena bayar. Komitmen rumah sewa paling murah pun RM500 sebulan. Ada juga pemilik yang masih membayar bil air dan elektrik yang tidak dipotong selain cukai pintu perlu diselesaikan.

“Walaupun ada diberi moratorium selama setahun selepas kejadian itu, kami masih tetap kena bayar balik. Sebelum ini kami dijanjikan dengan pelbagai penyelesaian, namun sudah lebih dua tahun, masih tiada apa-apa,” katanya di sini semalam.

Seorang lagi pemilik rumah, Norul Ba’ayah Ali@Husain, 37, pula berharap sekurang-kurangnya pihak berwajib memberikan hitam putih sama ada rumah itu selamat diduduki atau sebaliknya.

“Kami sudah bertanya sendiri kepada pihak terlibat, namun mereka sendiri tidak berani memberikan kata putus sama ada rumah ini selamat diduduki atau tidak,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Gambang Damai, Norazen Md. Dadi, 49, berkata, kesemua penduduk yang terjejas masih mahu mengambil langkah secara diplomasi dengan membuka ruang kepada pihak terlibat duduk semeja dan berbincang berkaitan masalah terbabit.

Katanya, sekiranya masih tiada jalan untuk perbincangan, kesemua mereka tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang atau melibatkan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam perkara terbabit.

“Kami masih mahu bertindak secara diplomasi justeru mengharapkan campur tangan dari pihak kerajaan negeri khususnya untuk untuk berbincang bersama dan mencari jalan penyelesaian menangani isu ini.

“Kami cuma mengharapkan hitam putih. Kalau selamat duduk, mana hitam putihnya? Kalah tidak selamat, apa tindakan selanjutnya? Jangan biarkan masalah ini tergantung begitu sahaja,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×