MELAKA: “Satu jam tunggu baru dapat satu pesanan, kadang-kadang langsung tiada”.
Itu keluhan seorang penghantar makanan, Muhammad Syakirin Marhalim, 27, yang terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan satu pesanan walaupun mendapat slot kerja di kawasan titik panas atau hotspot.
Katanya, pendapatan hariannya tidak lumayan seperti dahulu memandangkan pelanggan semakin berkira-kira ketika berbelanja.
“Satu jam satu pesanan, nak dapat pesanan seterusnya kena tunggu lagi satu atau dua jam. Dapat jadual atau tidak, keadaannya sama saja, tetap kena menunggu lama.
“Dulu kerja pagi hingga petang dah boleh dapat RM140 sehari tetapi sekarang hendak dapat RM100 pun sukar. Pesanan yang semakin perlahan ini dikesan berlaku sejak akhir tahun lalu, mungkin disebabkan kenaikan harga barang dan ramai penghantar makanan baru.
“Selain itu, harga makanan pula ada yang tidak masuk akal contohnya nasi goreng biasa RM11, lagi mahal daripada set menu restoran makanan segera. Pelanggan kini mahukan harga mampu milik dan sebab itu pesanan semakin berkurangan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, hampir semua peniaga di seluruh negara berdepan cabaran apabila jumlah pelanggan kedai makan merosot antara 30 hingga 60 peratus sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Tinjauan mendapati, ramai yang mengeluh dan mendakwa mereka terpaksa mengurangkan kuantiti masakan bagi mengelakkan juadah tidak habis dan menambahkan lagi kerugian.
Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Ayer Keroh di sini mendapati, ramai penghantar makanan masih menunggu pesanan meskipun telah masuk waktu puncak makan tengah hari.
Sementara itu, seorang lagi penghantar makanan, Azman Supardi, 50, berkata, trend perbelanjaan pelanggan boleh dilihat pada hujung bulan atau terdapat faktor lain yang mempengaruhi kuasa beli mereka.
Jelasnya, pelanggan akan berbelanja pada hari mereka mendapat gaji dan pesanan makanan ketika itu agak banyak berbanding hari biasa.
“Begitu juga semasa pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan tahun lalu, tidak menang tangan dibuatnya, Bagaimanapun, jumlah pesanan semakin menurun sejak rakyat dihimpit kenaikan kos sara hidup.
“Saya perhatikan yang selalu membuat pesanan adalah pelanggan sedia ada manakala pelanggan baharu tidak terlalu ramai. Ramai memilih untuk memasak sendiri di rumah terutama yang mempunyai keluarga besar,” ujarnya. – UTUSAN