PETALING JAYA: Penyanyi dan pengacara popular, Elly Mazlein tidak mengambil hati dengan segala kecaman dan kritikan negatif yang dilemparkan segelintir warganet di sosial media.
Sebaliknya, jelas Elly atau lebih popular disapa, Kak Lina, dia gembira sekiranya kontroversi atau isu sensasi melibatkannya turut membuat segelintir warganet sakan bergembira juga.
“Meriah ya Kak Lina dengar di sosial media. Tak apa, Kak Lina tak ambil hati. Asal warga sosial media gembira, Kak Lina pun gembira juga,” ujarnya.
Penyanyi Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu sebelum ini menerima kecaman lantaran bergolek sakan di pentas Big Stage baru-baru ini.
Aksi tersebut dilakukan Kak Lina sebagai protes dia kononnya telah tersingkir daripada program realiti tersebut selepas mendapat dua markah daripada juri tetap, Ajai.
Segelintir warganet kurang senang dengan aksi tersebut dan ada yang menyifatkan ibu kepada dua orang anak itu terlalu mencuba untuk berjenaka di atas pentas.
Malah, aksi tersebut juga dikatakan kurang sesuai untuk wanita di usianya serta status sebagai isteri dan ibu.