PETALING JAYA: Kerajaan perlu memberi tekanan kepada kumpulan mendakwa waris Kesultanan Sulu termasuk mengambil tindakan saman agar mereka menghentikan tuntutan untuk merampas aset dan kepentingan Malaysia di negara lain.
Ini kerana kumpulan terbabit tidak akan menghentikan tuntutan tidak munasabah dengan mengintai kepentingan Malaysia di tempat lain sehinggalah permintaan bayaran pampasan dapat dipenuhi meskipun keputusan tiga mahkamah sebelum ini tidak memihak kepada mereka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr. Azmi Hassan berkata, salah satu tekanan yang boleh dilakukan kerajaan Malaysia adalah memfailkan saman terhadap peguam dan lapan penuntut Sulu sebagai satu tekanan agar dapat menghentikan tuntutan tersebut dengan segera.
Katanya, meskipun tiga keputusan kes menyebelahi Malaysia, belum pasti perkara sama akan berlaku membabitkan satu lagi prosiding di Mahkamah Luxembourg pada September ini.
“Setakat ini belum ada kenyataan terbaharu peguam waris kumpulan Sulu sama ada ingin menghentikan tuntutan, kita perlu tunggu dan lihat adakah mereka berbuat demikian ekoran tiga siri kegagalan dalam prosiding sebelum ini.
“Setelah melihat strategi peguam Sulu membabitkan beberapa negara dan bermula di Sepanyol walaupun gagal, Paris pula kita dapat keputusan positif dan semalam keputusan Mahkamah Belanda serta selepas ini pula aset Petronas di Luxembourg.
“Jadi dalam hal ini secara logiknya selepas Belanda, kemungkinan di Luxembourg boleh ada keputusan menyebelahi kita. Namun sama ada mereka akan meneruskan tuntutan masih tidak tahu, itu belum pasti lagi,” katanya.
Kelmarin, Malaysia memperoleh kemenangan berganda bagi kes Sulu apabila keputusan Mahkamah Rayuan The Hague memihak kepada negara dengan menolak terhadap pengiktirafan Final Award yang dikeluarkan melalui proses timbang tara tidak sah dan disalahgunakan oleh pihak mendakwa sebagai waris kesultanan Sulu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan tersebut sekali gus menghalang apa-apa usaha oleh pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan tuntutan tidak sah mereka terhadap kerajaan Malaysia di Belanda.
Menurut beliau, keputusan Mahkamah Rayuan The Hague adalah satu kemenangan penting kepada kerajaan rentetan keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun lalu.
Pada masa sama, Azmi menegaskan selagi kerajaan tidak memberi tekanan kepada peguam dan kumpulan Sulu, mereka tidak berhenti membuat pelbagai helah dan kerajaan akhirnya berdepan kerugian kerana perlu membelanjakan wang bagi yuran guaman antarabangsa demi mempertahankan kedaulatan tanah air.
Beliau melihat tindakan kumpulan Sulu perlu dihentikan segera kerana mereka telah menyalahguna peruntukan undang-undang timbang tara antarabangsa membuat tuntutan yang tidak munasabah.
“Daripada masa terbuang, wang banyak dibelanjakan, kedaulatan telah dicabar, kita perlu saman sebagai tegahan dan tekanan memberikan tuntutan ini,” katanya.
Dalam nada sama, peguam Datuk Dr Baljit Singh Sidhu menegaskan, kerajaan tidak boleh lagi bersikap mempertahankan diri sebaliknya harus melakukan serangan balas berhubung tindakan kumpulan Sulu dengan proses perundangan antarabangsa.
Kata beliau, menerusi tindakan saman Malaysia boleh menuntut ganti rugi dan perkara ini akhirnya boleh menyebabkan putus harapan untuk membuat tuntutan.
“Kerajaan kena agresif dalam soal ini, mungkin waris Sultan Sulu mencari langkah lain untuk menyita kepentingan aset Malaysia di negara lain pula. Ini boleh diibaratkan langkah awal mereka untuk membuat tuntutan tersebut.
“Jabatan Peguam Negara kena wujudkan satu pasukan petugas khas terhadap isu ini yang membabitkan para perundangan tempatan khususnya pakar timbang tara. Kita ada banyak cuma tidak melibatkan mereka dalam soal kepentingan tanah air,” katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan, penghakiman bersejarah itu juga merupakan satu petunjuk bahawa apa-apa usaha lanjutan pihak penuntut dan pembiaya untuk menguatkuasakan Final Award ini di bidang kuasa lain adalah bersia-sia.
Katanya, keputusan Mahkamah Rayuan The Hague yang menolak tuntutan waris mendakwa Kesultanan Sulu jelas menunjukan mereka tidak ada asas perundangan merampas aset Malaysia di Belanda.
Beliau menjelaskan keputusan itu mengesahkan pendirian Malaysia bahawa keseluruhan proses timbang tara termasuk Final Award yang dikeluarkan sebelum ini adalah tidak sah.
“Keputusan Mahkamah Rayuan Belanda ini mengesahkan pendirian Malaysia bahawa timbang tara komersial yang dilaksanakan terhadap Malaysia oleh pihak penuntut Sulu yang berpotensi menggugat integriti sistem timbang tara antarabangsa secara keseluruhan kini telah dijamin melalui keputusan ini,” katanya. – UTUSAN










