Sabah fokus kecurian air, kurangkan air tidak berhasil

Sabah fokus kecurian air, kurangkan air tidak berhasil

SHAHELMEY Yahya (tengah) menyampaikan set kelengkapan pengurusan jenazah kepada salah seorang penerima di Balai Terbuka Kampung Tanjung Aru, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan memberi fokus kepada usaha mengurangkan ketirisan air tidak berhasil (NRW) dan menyelenggara paip dan pam air yang rosak sebagai langkah menangani masalah air di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya berkata, itu antara pendekatan jangka pendek yang akan diambil dengan menggunakan peruntukan RM320 juta yang diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

“Untuk tempoh jangka pendek, fokus kita adalah mengurangkan kadar ketirisan air yang tidak berhasil atau NRW serta memastikan loji-loji berada dalam keadaan yang lebih efisien.

“Di samping itu, kita akan pergiatkan pemotongan penyambungan air haram dan memperbaiki paip-paip yang bocor dan rosak sekitar pantai barat Sabah. 

“Kita jangkakan dalam tempoh enam hingga 12 bulan ini, bekalan air akan kembali pulih,” katanya selepas agihan set kelengkapan pengurusan jenazah bagi Parlimen Putatan hari ini.

Malah, beliau juga telah mengarahkan Jabatan Air Negeri untuk mengagihkan bekalan air terutama di kawasan Tuaran, Kota Kinabalu, Putatan dan Papar sementara menunggu projek loji rawatan air (LRA) Telibung 2 siap sepenuhnya.

Shahelmey, yang juga Menteri Kerja Raya itu berkata, apabila LRA Telibung 2 siap sepenuhnya pada tahun depan, ia mampu menghasilkan 80 juta liter sehari (MLD) bagi kegunaan pengguna sekitar pusat bandar raya ini.

Dalam mesyuarat semalam, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor turut membentangkan perancangan jangka panjang yang melibatkan pembinaan dua empangan di Ulu Padas, Sipitang dan Papar.

Bagi tujuan itu, Anwar telah mengarahkan supaya satu jawatankuasa ditubuhkan antara Persekutuan dan negeri Sabah bagi melihat kaedah pelaksanaan dan pembiayaan projek.

Shahelmey berkata, kajian kemungkinan bagi projek empangan Papar telah memasuki fasa terakhir dan dijangka siap sebelum hujung tahun ini.

“Kajian kemungkinan ini sepatutnya siap pada Jun tapi, mereka berhadapan halangan daripada penduduk kampung untuk masuk kawasan beberapa bulan lalu. Namun, difahamkan mereka sudah dapat masuk kawasan tersebut untuk melengkapkan kajian berkenaan sebelum hujung tahun ini.

“Apabila kita dapat laporan barulah kita akan buat keputusan. Memang empangan ini diperlukan dalam tempoh lima tahun dari sekarang bagi memastikan dalam jangka masa panjang, bekalan air Sabah kembali stabil dan mencukupi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya