RM5 juta untuk Sumpahan Jerunei - Utusan Malaysia

RM5 juta untuk Sumpahan Jerunei

WENDY dan Nancie bersama tenaga produksi filem Sumpahan Jerunei ketika penggambaran di Sarawak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS filem Red Haired Tumbler yang diterbitkan 29 tahun lalu, sutradara dan pelakon, Datuk Nancie Foo dan Wendy Wong tampil dengan sebuah filem seram, Sumpahan Jerunei yang mengetengahkan sejarah, adat dan budaya kaum Melanau di Sarawak.

Wendy berkata, dia dan Nancie kali ini mahu menghasilkan filem berkualiti yang boleh dibanggakan untuk dibawa ke peringkat antarabangsa sebelum bersara daripada industri perfileman.

“Kami sudah lama berkecimpung dalam industri seni sejak drama bersiri, Kisah Benar mencetuskan fenomena pada 1993. 

“Jadi, kami ambil risiko, hasilkan filem berkualiti dengan peruntukan yang besar yang boleh dibawa ke pasaran antarabangsa sekaligus mempromosikan Malaysia sebagai destinasi  pelancongan. 

“Sebab itu kami amat bersyukur dengan bantuan dan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Sarawak. Tanpa mereka, kami tidak mampu menghasilkan filem bermutu dan berkualiti,” katanya yang mengambil enam tahun untuk menyiapkan filem Sumpahan Jerunei.

Selaku pencetus idea asal, kata Wendy, pada mulanya, mereka merancang untuk menerbitkan dokumentari yang boleh membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.

“Kami berbincang dengan penulis skrip sehingga ke Sabah dan Sarawak, mencari cerita yang sesuai untuk dijadikan sebuah  dokumentari.

“Dalam proses tersebut, kami diberitahu tentang sejarah ritual Jerunei yang diamalkan kaum Melanau di Sarawak pada abad ke-16. 

“Pada awal, kami tertarik untuk menghasilkan dokumentari tentangnya dalam bentuk tesis dan berhasrat mahu menyerahkan hasil kajian itu kepada Muzium Sarawak,” katanya.

KAJIAN TERPERINCI

Berkongsi lanjut, Wendy memaklumkan produksinya telah melakukan kajian terperinci selama dua tahun mengenai budaya dan sejarah Jerunei.

Katanya, usaha tersebut turut menerima kerjasama Majlis Adat Istiadat Sarawak, Muzium Sarawak, Persatuan Melanau Kuching dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Sarawak.

“Pelbagai proses dilakukan sebelum Majlis Adat Istiadat Sarawak memberi pihak kami kebenaran untuk buat kajian berkaitan Jerunei di Mukah. 

“Kami bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Sarawak Tribune dan Suara Sarawak, Prof. Datuk Dr. Jeniri Amir yang berkongsi banyak maklumat dan nasihat mengenai sejarah Jerunei.

“Kami juga menerima pertolongan daripada beberapa individu dari Majlis Adat Istiadat Sarawak seperti mendiang Hat Kok Lai, mendiang Eric Michael Toyad dan John Ling,” katanya.

TENTANG JERUNEI

Bercerita tentang Jerunei, kata Wendy, berdasarkan adat dan kepercayaan kaum Melanau, dua hamba perempuan dan lelaki yang masih dara dipilih untuk dikorbankan  dalam ritual tersebut apabila ada orang kaya atau golongan bangsawan yang meninggal dunia. Hamba-hamba tersebut adalah dalam kalangan yang dipilih si mati.

“Hamba lelaki yang dipilih si mati itu akan dimasukkan ke dalam lubang, manakala hamba wanita pula akan digantung pada tiang Jerunei sehingga mati. 

“Bagaimanapun, ritual upacara ini dimansuhkan pada abad ke-18 ketika Charles Brooke menjajah Sarawak,” kongsinya.

Ujar Wendy, pihaknya memilih kaum bangsawan Melanau untuk diangkat dalam cerita Sumpahan Jerunei kerana keturunan mereka, Tommy Black masih hidup dan kini berada di Mukah, Sarawak.

“Tommy memiliki Muzium Sapan Puloh di Mukah dan menyimpan barangan berkaitan Jerunei seperti props, pakaian dan artifak yang ditinggalkan nenek moyangnya.

“Kami menghargai sokongannya yang sudi menjadi penasihat bagi babak ritual upacara bangsawan kaum Melanau yang didokumentasikan dalam filem ini.

“Produksi juga mendapat kerjasama daripada Ketua Kampung, Sill yang banyak berkongsi fakta tentang ritual tersebut,” katanya.

KOS BESAR

Mengulas tentang pembikinan filem tersebut, kata Wendy, pihaknya telah memperuntukan kos yang mencecah sehingga RM5 juta.

“Kos pembikinan filem sangat tinggi kerana membabitkan banyak penggunaan kesan khas, VFX dan teknologi Imej Janaan Komputer (CGI) ketika penggambaran menggunakan skrin biru.

“Kami terpaksa mengeluarkan lebih RM100,000 untuk membawa peralatan teknikal dan reka bentuk berskala besar dari Kuala Lumpur ke lokasi penggambaran di Kuching, Sarawak.

“Selain itu, filem ini membabitkan lebih 100 tenaga kerja termasuk barisan pelakon, kru dan pelakon tambahan yang terdiri dalam kalangan penduduk tempatan yang boleh berbahasa Melanau.

Pada masa yang sama, Wendy memaklumkan penggambaran filem tersebut dilakukan di Sarawak termasuk di Kuching dan Mukah.

 “Penggambaran dijalankan selama 45 hari di Kuching dan Siburan. Cuma, pada peringkat permulaan sahaja penggambaran dilakukan di Mukah. 

“Ia dilakukan sebelum fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun selepas dua tahun, barulah proses suntingan disiapkan,” ujarnya.

ROMBAK SKRIP 12 KALI

Berkongsi tentang cabaran, Wendy berkata, pihaknya melalui pelbagai proses sebelum mendapat kebenaran dari  pihak berkuasa Sarawak membabitkan kajian mengenai sejarah serta budaya Jerunei.

Katanya, kerja menerjemahkannya ke layar filem tidak mudah kerana membabitkan proses penghasilan skrip selama tempoh setahun. 

“Kami terpaksa merombak skrip sebanyak 12 kali bersama pengarah. 

“Ketika mula membuat kajian mengenai Jerunei di Mukah, kami merasakan kehadiran kami seperti tidak dialu-alukan. Saya dan Nancie takut dan merasakan seperti ada yang mengikut dan memerhatikan kami.

“Namun, keadaan bertukar mudah selepas memutuskan untuk mengangkat naskhah ini ke layar perak,” katanya.

Selain itu, cuaca tidak menentu juga menjadi antara cabaran terbesar ketika fasa-fasa awal proses penggambaran dijalankan.

“Bayangkan, semua peralatan seperti skrin jatuh, kamera rosak akibat terkena air hujan. Peralatan penggambaran juga rosak selain keadaan lokasi penggambaran yang basah mengakibatkan kami menanggung kerugian lebih RM100,000.

“Kami cuba menuntut ganti rugi dari pihak insurans, tetapi kami tiada bukti bergambar. Macam mana nak tunjuk bukti bergambar bila angin kencang dan hujan membuatkan semua kru lari untuk selamatkan diri dan tidak sempat mengambil gambar,” katanya lagi.

BUKAN SEKADAR SERAM FIKSYEN

Disoal tentang tarikan filem Sumpahan Jerunei, kata Wendy, ia bukan sekadar cerita seram fiksyen, tetapi ada cerita dan mesej positif yang disampaikan dalam filem tersebut.

Selain itu katanya, filem itu juga mengupas rahsia dan misteri di sebalik sejarah serta adat pengebumian golongan bangsawan Melanau. 

“Jerunei adalah lambang bersejarah bagi masyarakat Melanau. Ia dijadikan tempat persemadian golongan bangsawan suatu ketika dahulu. 

 “Ia juga sejenis keranda atau tempat persemadian diperbuat daripada kayu yang telah bertahan selama ratusan tahun bagi menempatkan hamba atau orang yang dipilih si mati semasa hidupnya. 

“Selain itu, filem ini juga memaparkan budaya, pakaian dan makanan orang Melanau yang penuh dengan keunikan. Mesej yang disampaikan dalam filem ini mengingatkan kita agar tidak mengambil barang yang bukan milik kita,” jelasnya.

Sumpahan Jerunei arahan Jason Chong menampilkan barisan pelakon hebat seperti Bront Palarae, Uqasha Senrose, Amerul Affendi, Syafie Naswip, Daiyan Trisha, Tony Eusoff, Ruminah Sidek, Yuyun Hikmah dan ramai lagi.  Filem ini bakal menjengah pawagam seluruh tanah air pada 27 Julai depan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN