PETALING JAYA: Pelancong asing terutama dari Singapura yang menjadikan negara ini ‘syurga beli-belah’ menikmati kira-kira 30 peratus atau RM19 bilion daripada jumlah RM66.3 bilion subsidi barangan untuk rakyat tempatan pada tahun 2022.
Jumlah itu tidak termasuk kira-kira dua juta lagi warga asing yang berada di Malaysia yang turut menikmati pelbagai subsidi barangan tanpa had.
Barangan bersubsidi itu antaranya adalah beras, minyak masak, tepung gandum, gula, telur, ayam dan juga minyak petrol RON97.
Statistik Jabatan Imigresen merekodkan sejumlah 25,000 rakyat Singapura masuk ke Johor pada hari biasa dan ia meningkat kepada 100,000 orang pada hujung minggu dan cuti umum.
Keadaan itu didorong oleh prestasi ringgit paling corot berbanding dolar Singapura apabila pada 24 Mei lalu, ringgit berada pada paras terendah dalam sejarah. SGD1 Singapura bersamaan RM3.40 mengatasi paras terendah sebelum ini iaitu RM3.40 yang dicatat pada 10 November, 2022.
Kelemahan nilai ringgit yang mengukuhkan dolar Singapura meningkatkan kuasa beli pelancong dan pelawat dari negara seberang tambak itu yang berbelanja di Malaysia, dengan tumpuan kepada barangan keperluan asas bersubsidi.
Ini dibuktikan melalui tinjauan Utusan Malaysia pada 1 Jun lalu yang disiarkan dalam laporan berjudul Johor Bahru ‘syurga’ warga Singapura mendapati kejatuhan nilai ringgit mendorong berduyun-duyun warga mereka membanjiri Johor Bahru sehingga beberapa premis perniagaan di sekitar bandar raya itu didapati hampir separuh daripada pengunjungnya adalah warga asing dengan majoriti dari Singapura.
Meskipun dari aspek Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang disumbangkan melalui sektor pelancongan, Singapura pada 2019 mencatat perbelanjaan pelancongan tertinggi dengan nilai RM11.56 bilion berbanding China (RM7.09 bilion) dan Indonesia (RM5.71 bilion), penganalisis mempersoalkan implikasi tindakan warga asing membeli barangan bersubsidi yang sepatutnya diperuntukkan kepada kumpulan bersasar dalam negara ini.
Penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai yang dihubungi berkata, di samping tumpuan kerajaan meningkatkan pendapatan negara daripada sektor pelancongan, ia perlu selari dengan perbelanjaan subsidi kepenggunaan yang mencecah RM66.3 bilion bagi 2022 merangkumi subsidi petrol, diesel, gas cecair memasak, minyak masak, bil elektrik, harga ayam dan telur.
Barjoyai berkata, kehadiran pelancong dan pelawat turut memberi kesan terhadap kecairan subsidi kerajaan bagi barangan keperluan, yang faedah daripada subsidi tersebut sepatutnya dinikmati rakyat Malaysia.
Beliau menganggarkan 30 peratus daripada keseluruhan subsidi kepenggunaan pada 2022, iaitu kira-kira RM19 bilion ‘hangus’ dinikmati pelancong yang membeli belah barangan bersubsidi di dalam negara selain diseludup dan dijual di pasaran luar negara seperti di Golok, Thailand.
“Dalam konteks pelancong asing ke Malaysia, apabila mereka membeli barangan dari Malaysia, Mereka membeli dengan murah dan itu sebenarnya menjejaskan ekosistem subsidi kerajaan kepada rakyat Malaysia. Ini kerana mereka memakan subsidi yang diperuntukkan kepada warga kita.
“Barang-barang yang dibeli itu mahal di Singapura dan mereka dapat membeli dengan murah di Malaysia. Jadi, pelawat dan pelancong Singapura mendapat faedah yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat tempatan walaupun mereka sebenarnya bukan warganegara Malaysia,” katanya di sini, semalam.
Menurut Barjoyai, senario itu bertentangan dengan konsep subsidi bersasar malah merugikan hasil negara dalam jangka panjang.
“Ia bukan saja tidak tersasar, malah ini bererti subsidi yang disalurkan kerajaan sebenarnya sudah melimpah keluar negara. Ia dilakukan pula secara sah bukannya haram.
“Kalau misalnya barangan ini diseludup ke luar negara, itu haram. Tapi ini, mereka sekadar datang melawat ke pasaraya di Malaysia dan membeli barangan dengan harga murah.
“Mungkin dari sudut positif itu merupakan satu usaha menggalakkan pelancong ke Malaysia lebih kerap sekali gus mewujudkan nilai tambah dan kesan positif kepada KDNK Malaysia, KDNK akan meningkat. Tapi dari aspek lain, ia akan memakan subsidi yang sepatutnya dinikmati kumpulan bersasar dalam Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN










