PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memulakan tugas rasmi di Bukit Aman, hari ini.
Beliau yang dibawa menaiki kenderaan rasmi tiba di pintu masuk utama Bukit Aman pada 8 pagi.
Ketibaan beliau disambut Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin bersama barisan Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara di Lobi Menara 1.
Beliau kemudian menandatangani dokumen memulakan tugas diikuti majlis bacaan doa selamat di pejabatnya yang dipimpin oleh Penolong Pengarah (Psikologi dan Kaunseling) Bahagian Agama dan Kaunseling, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd Zakarim Abdullah@Zakaria.
Media semalam melaporkan Razarudin mengambil alih jawatan Ketua Polis Negara ke-14 menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang menamatkan kontraknya.
Majlis serah terima tugas dan pemakaian lencana jawatan nombor satu dalam PDRM itu disaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Pada majlis sama, berlangsung upacara serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Negara antara Razarudin dengan Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay. – UTUSAN










