KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan merangkul anugerah Lagu Nasyid Terbaik menerusi Thank You Allah sempena Anugerah Industri Muzik ke-23, penyanyi, Alyah, 42, muncul dengan sebuah lagi lagu ketuhanan berjudul Eilayka.
Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan memaklumkan, keistimewaan lagu berentak Timur Tengah itu adalah menerusi kolaborasi bersama pendakwah tersohor, Ustazah Asni Mansor.
“Saya akan mulakan promosi lagu tersebut tidak lama lagi. Bahkan sebelum Ramadan lepas, saya terbang ke Dubai untuk merakam video muziknya di sana.
“Buat masa ini kami terpaksa menangguhkan dahulu pelancarannya memandangkan ustazah Asni kini sedang melaksanakan ibadah haji.
“Tetapi promosinya akan tetap berjalan,” katanya ketika ditemui pemberita dalam sidang media konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia baru-baru ini.
Menurut Alyah, baginya tiada istilah semakin selesa merakamkan lagu ketuhanan kerana sebelum ini dia tidak pernah merancang untuk muncul dengan lagu jenis itu.
“Peluang itu datang sendiri dan secara tiba-tiba tanpa dirancang. Begitu juga dengan lagu Thank You Allah.
“Saya bukan komposer. Kalau ada tawaran untuk merakamkan lagu Ketuhanan, saya akan buat,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Alyah menyifatkan tawaran membuat persembahan sempena konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia di Istana Budaya pada 5 dan 6 Ogos depan sebagai peluang yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
Alyah yang bakal berduet dengan Datuk Awie pada konsert itu mengakui teruja kerana berpeluang berkongsi pentas dengan penyanyi legenda tanah air.
“Saya pernah membawakan lagu Alunan Biola yang dipopularkan biduanita Allahyarham Saloma satu ketika dahulu. Jadi saya seronok bila terima tawaran menyanyi untuk sebuah lagi konsert keroncong. Tapi kemahiran menyanyikan lagu genre itu perlu saya asah semula.