Pulau Pinang terima manfaat meter pintar sepenuhnya menjelang 2025 - Utusan Malaysia

Pulau Pinang terima manfaat meter pintar sepenuhnya menjelang 2025

SEBAHAGIAN pengamal media bergambar bersama warga TNB Pulau Pinang pada Majlis Hi-Tea di Butterworth, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Pengguna elektrik di Pulau Pinang dijangka menikmati kemudahan meter pintar oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) sepenuhnya menjelang 2025.

Pengurus Besar Retail TNB Pulau Pinang, Norhizami Abu Hasan berkata, ketika ini, sebanyak 12,000 akaun pengguna di negeri ini telah dipasang dengan meter pintar.

NORHIZAMI ABU HASAN

“Bermula pertengahan bulan ini hingga hujung Julai, sasaran kita adalah untuk pasang 4,000 lagi meter pintar untuk akaun sedia ada.

“Pemasangan akan bermula di sekitar Pulau Tikus (George Town) dan di buat secara berperingkat di beberapa lokasi lain di sebelah pulau sebelum ia dilaksanakan pula di kawasan Seberang Perai,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Hi-Tea TNB Bersama Media yang turut dihadiri Pengurus Besar TNB Pulau Pinang, Ismail Lathifi Teh di sini semalam.

Mengulas lanjut, Norhizami berkata, meter pintar itu akan memudahkan analisis dari segi penggunaan tenaga elektrik dibuat.

Pada masa sama, kata beliau, pemantauan lanjut juga boleh dilakukan sekiranya berlaku kerosakan meter atau insiden kecurian arus elektrik dan sebagainya.

“Maknanya, jika meter elektrik dibuka atau diusik pada pusingan meternya, maka ‘alarm’ (alat penggera) akan segera dihantar (melalui sistem) untuk kita kesan apa yang berlaku,” ujar beliau.

Tambah Norhizami, pemasangan meter pintar itu bagaimanapun tidak dikenakan sebarang caj buat masa ini.

“Pengguna yang akan membuat pemasangan meter pintar itu akan diberikan notis oleh pihak TNB,” katanya yang menggalakkan pengguna menghubungi TNB jika bimbang ditipu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dalam pemasangan berkenaan.

Dalam pada itu, Ismail Lathifi mengakui terdapat sesetengah kes berlakunya kenaikan bil elektrik apabila penukaran meter pintar dibuat.

Bagaimanapun, katanya, ia berlaku disebabkan beberapa faktor seperti meter lama yang bermasalah selain memiliki sejarah penggunaan meter lama yang tidak direkod dengan betul.

“Untuk kes seperti ini, biasanya kita akan buat ujian kejituan meter. Kita panggil pengguna datang untuk tengok ujian dibuat,” katanya yang memberitahu, setakat ini, kebanyakan aduan khususnya berkaitan masalah meter yang memberi kesan kepada peningkatan bil elektrik berjaya ditangani. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya