PRN: Agihan kerusi PH, BN dilakukan secara teliti - Utusan Malaysia

PRN: Agihan kerusi PH, BN dilakukan secara teliti

NIK Nazmi Nik Ahmad (tiga, kiri) beramah mesra bersama penyokong ketika menghadiri majlis temu mesra bersama ahli dan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pejabat Keadilan Cabang Kuala Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Proses rundingan agihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini adalah lebih kompleks dan memerlukan pendekatan yang berbeza.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Terengganu dan Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia perlu dilakukan dengan teliti kerana banyak faktor perlu dipertimbangkan kerana ruang lingkupnya hanya tertumpu untuk enam negeri.

Menurutnya, rundingan kali ini adalah berbeza dan tidak sama seperti gabungan antara PKR dan Pas yang pernah berlangsung satu ketika dahulu.

“Kalau dulu, walaupun Pas ada sejarah lama (kekuatan tersendiri di Terengganu) dan beberapa kawasan yang tradisional yang menjadi kubu kuatnya, namun masih ada ruang untuk kita bertanding.

“Walaupun tidaklah mudah, namun hasilnya PKR mempunyai wakil di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar iaitu Azan Ismail.

“Berbeza bekerjasama dengan UMNO, kerana ia adalah parti yang telah ada sejak 1946 dan banyak kawasan kubu kuat mereka. Jadi dalam konteks itu, rundingan agak rumit, kalau Amanah lagi lah rumit sebab ia adalah parti yang lebih muda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir di majlis temu mesra bersama ahli dan penyokong PKR di Pejabat Keadilan Cabang Kuala Terengganu di sini hari ini.

Enam negeri yang akan terlibat dengan PRN ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, beliau yakin proses rundingan kerusi itu akan selesai dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi.

“Kita akan mencuba sehabis baik untuk memastikan PKR mendapat kerusi-kerusi sasaran di Terengganu yang telah dikenal pasti sebelum ini melalui beberapa faktor seperti sejarah kemenangan, demografi, ‘track record’ dan hasil tinjauan kaji selidik yang dilakukan.

“Perbincangan kali ini agak rumit kerana banyak perkara perlu dipertimbangkan, apatah lagi melibatkan banyak parti komponen di bawah PH dan BN.

“Apa yang penting ialah kemenangan, bukannya soal siapa besar siapa kecil (di satu-satu negeri itu) dan akhirnya saya yakin kita semua akan mampu mencapai satu keputusan yang terbaik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya