Lelaki Iran dipercayai dalang sindiket diberkas

Polis rampas dadah RM3.7 juta, lelaki Iran dipercayai dalang diberkas

MOHD. Shuhaily Mohd. Zain menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas dalam sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang lelaki warga Iran yang masuk ke negara ini sebagai jurutera dan menjadikan kediaman mewahnya di Jalan Ampang, dekat sini sebagai stor penyimpanan dadah syabu dan ganja akhirnya terbongkar.

Kegiatan suspek dibongkar sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dalam dua serbuan di Sentul dan Wangsa Maju pada 13 Jun lalu.

Hasil serbuan itu, pelbagai jenis dadah bernilai RM3.7 juta dirampas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam operasi bermula pada pukul 6 petang hingga 11 malam itu turut menahan seorang lelaki warga tempatan yang bertindak sebagai runner.

 Kata beliau, suspek warga tempatan itu ditahan di parkir kenderaan di sebuah kondominium Taman Segambut Aman.

“Pemeriksaaan di kenderaan jenis Toyotan Estima menemukan dadah jenis syabu seberat 4.2 kilogram (kg) bernilai RM139,000.

“Susulan tangkapan suspek, polis kemudian menyerbu sebuah kondominium di Jalan Ampang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Shuhaily berkata, serbuan di kondominium terbabit menahan seorang lelaki yang dipercayai dalang utama sindiket pengedaran dadah berkenaan. 

Katanya, pemeriksaan di kediaman terbabit menemukan 103.3 kg dadah jenis syabu bernilai RM3.4 juta dan ganja seberat 34.7 kg bernilai RM107,000.

“Siasatan mendapati, suspek terlibat dengan pengedaran dadah di Iran sejak 2014 dan masuk ke Malaysia pada Mei lalu.

“Lelaki berusia 48 tahun itu kerap keluar dan masuk ke negara ini bermula 2014, namun tidak bekerja sebagai jurutera,” katanya.

Menurut beliau, polis turut menyita kereta jenis Perodua Alza dan wang tunai RM500 dengan jumlah sitaan RM30,500.

Tambah beliau, kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 20 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN