TAPAH: Polis menafikan video yang memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dihanyutkan arus deras yang tular di media sosial berlaku di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, hasil penelitian mendapati, kejadian itu dipercayai berlaku di luar negara berdasarkan kepada nombor pendaftaran kenderaan yang terlibat.
“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah telah menjalankan siasatan berkaitan video tular berkenaan dan mendapati tiada sebarang kejadian berlaku di Jalan Tapah ke Cameron Highlands.
“Kita percaya kejadian itu berlaku di luar negara berdasarkan keadaan jalan dan nombor pendaftaran kenderaan dalam video tersebut,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, orang ramai diingatkan agar menghentikan penularan video itu yang boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.
“Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998 dan Seksyen 505b Kanun Keseksaan,” katanya.
Video berdurasi satu minit 55 saat itu menunjukkan sebuah kenderaan pacuan empat roda cuba meredah laluan banjir sebelum kenderaan itu dihanyutkan arus ke sungai.
Menerusi video itu, kenderaan terbabit pada mulanya tersangkut pada palang jambatan namun arus deras akibat banjir menolak kenderaan itu masuk ke sungai.
Mangsa yang terperangkap dilihat cuba keluar untuk menyelamatkan diri melalui tingkap sebelah penumpang hadapan.
Difahamkan kejadian tersebut berlaku di wilayah Veracruz, Nicaragua pada 29 Mei lalu dan mangsa dilaporkan maut. – UTUSAN










