MELAKA: Jabatan Kesihatan Negeri mengesahkan bahawa insiden membabitkan proses pemindahan pesakit menggunakan tangga seperti yang tular dalam media sosial sejak semalam, berlaku di Hospital Melaka di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem berkata, ia berikutan berlaku kerosakan luar jangka lif di Blok F Hospital Melaka yang menyebabkan akses terhad ke beberapa wad pada Jumaat lalu.

Beliau berkata, proses pemindahan pesakit melalui tangga perlu dilaksanakan atas faktor kepentingan dan kelangsungan rawatan pesakit kritikal.
Jelasnya, pemindahan pesakit dilakukan dengan pemantauan rapi pihak perawat serta pengurusan wad dan pesakit terlibat telah dipindahkan tanpa sebarang komplikasi.
“Hospital Melaka mengesahkan situasi tersebut berlaku, ia adalah proses memindahkan pesakit yang berada di wad aras empat kepada aras tiga dengan menggunakan tangga kerana berlaku situasi luar jangka gangguan perkhidmatan lif di Blok F Hospital Melaka.
“Untuk makluman, Hospital Melaka kini dalam tempoh projek naik taraf lif di beberapa blok hospital. Sepanjang tempoh tersebut, bilangan lif yang beroperasi telah dikurangkan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penggantian lif baru.
“Projek tersebut terbahagi kepada dua fasa, di mana fasa satu berlangsung dari Oktober 2022 sehingga Julai 2023, manakala fasa dua berlangsung dari Julai 2023 sehingga Disember 2023,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Hee Sem, setakat petang kelmarin, dua lif yang rosak telah dibaiki dan berfungsi dengan pemantauan.
“Hospital Melaka sentiasa memastikan keselamatan serta kebajikan pesakit dan kakitangan diutamakan. Semua pihak dipohon untuk tidak membuat spekulasi yang bukan-bukan kerana ini boleh menimbulkan situasi panik dalam kalangan pesakit,” katanya. – UTUSAN










