PH Selangor yakin kekal teraju kerajaan negeri berdasarkan prestasi - Utusan Malaysia

PH Selangor yakin kekal teraju kerajaan negeri berdasarkan prestasi

Selangor
AMIRUDIN Shari (tengah) bersama pimpinan sayap PKR pusat dan negeri memegang obor sebagai simbolik pelancaran Jentera Pilihan Raya AMK dan Wanita Selangor dekat Tanjong Karang di Kuala Selangor, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) negeri ini yakin prestasi mereka sejak mengambil alih kerajaan pada 2008 mengatasi tawaran-tawaran daripada Perikatan Nasional (PN) menerusi kempen ‘Selangor Baharu’ termasuk Menteri Besar anak Selangor.

Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengundi di negeri ini menilai sentimen dari sudut prestasi kerajaan negeri dan PH mempunyai kelebihan itu untuk terus mengekalkan pentadbiran pada pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

“Sejak daripada awal saya rasa kita bergantung kepada prestasi dan sentimen itu saya percaya bukanlah petunjuk dan memberikan faktor yang terlalu besar.

“Sebab itu saya sebutkan mereka kekal untuk berhujah secara dasar yang memberi manfaat kepada negeri yang ada pun tak jelas, maklumatnya kurang lengkap,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Jentera Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Selangor, malam tadi.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau yang juga Menteri Besar Selangor memberitahu PH bakal perolehi keputusan majoriti dua pertiga dan mengulangi kejayaan mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

Menurutnya, kerusi-kerusi di bahagian Selangor utara seperti Sabak Bernam dan Tanjong Karang juga diyakini akan ditawan pada PRN nanti.

Dalam pada itu, Amirudin turut memaklumkan sokongan rakyat yang dilihat menerusi siri jelajah dilakukan kerajaan negeri sejak awal tahun ini menjadi faktor PH akan terus memperoleh sokongan daripada rakyat.

“Terpulang kepada keyakinan mereka, kita pun ada keyakinan berdasarkan fakta, data dan juga sentimen sepanjang Ramadan dan Syawal saya menjelajah hampir semua daerah, kita lengkapkan tiga siri jelajah.

“Saya yakin maklum balas diberikan sangat positif, hatta di Sabak Bernam yang sebelum ini malu-malu dengan ada pergerakan antara Kerajaan Perpaduan memberi nilai tambah kepada kita.

“Sentimen bukanlah berubah, Selangor pada PRU15 lepas pun kita masih lagi dengan jumlah yang besar, mereka menang 14 kerusi pun by default, tetapi kalau hubungan kita dengan BN dapat diserasikan, ia dapat memberikan kelebihan kepada kita,” jelasnya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN