PH Johor tidak tuntut kerusi exco negeri - Salahuddin

PH Johor tidak tuntut kerusi exco negeri – Salahuddin

SALAHUDDIN Ayub menyampaikan baucer ITTV e-Learning Rahmah kepada salah seorang pengetua sekolah sempena Perhimpunan Bulanan, Apresiasi Pendidikan & Pelancaran ITTVe - Learning Rahmah di Kempas, Johor Bahru, hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) Johor tidak akan menuntut sebarang jawatan dalam barisan exco kerajaan negeri walaupun gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) telah dijalin di peringkat Persekutuan.

Pengerusi PH Johor, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, langkah itu kerana pihaknya yakin dengan kepemimpinan dan kestabilan politik yang dicapai Johor ketika ini di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Bagaimanapun katanya, rundingan akan dibuat melibatkan agihan jawatan peringkat akar umbi negeri agar ianya turut melibatkan wakil PH.

“Setakat ini, PH tidak mendesak apa-apa sebab kita lihat kestabilan politik di Johor adalah lebih penting. Namun kewujudan Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat telah menyebabkan peranan Ketua Pembangkang diubah kepada Ketua Pengimbang.

“Walaupun kita (PH) bukan sebahagian daripada kerajaan Johor, namun banyak program libat urus boleh diadakan secara bersama dengan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Jadi setakat ini, kita tidak menuntut apa-apa kedudukan khususnya jawatan exco kerajaan negeri,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan, Apresiasi Pendidikan dan Pelancaran ITTV e-Learning Rahmah di Kempas, di sini hari ini.

Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup turut memberitahu, langkah itu bagi memastikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH diberi peluang untuk terlibat dalam pembangunan negeri ini.

Baru-baru ini, terdapat khabar angin bahawa bakal berlaku rombakan dalam barisan Exco Kerajaan Negeri Johor di mana beberapa nama akan digugurkan dan digantikan dengan individu lain.

Antara calon-calon yang disebut akan mengisi kekosongan jawatan exco berkenaan termasuklah ADUN daripada PH bagi menggambarkan konsep Kerajaan Perpaduan antara PH dan BN ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN