PETALING JAYA: Peraduan Teka Kata Bahasa Jiwa Bangsa (4.0) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Utusan Malaysia dapat meningkatkan daya berfikir dan sifat membaca individu.
Pemenang utama peraduan itu, Nur Fatihah Hayati Kamarudin, 25, berkata, aktiviti tersebut membantunya menjadi seorang yang banyak membaca.
“Slogan yang dikeluarkan pada setiap minggu memang agak susah kerana saya kurang membaca.
“Namun, kerana teruja untuk menyelesaikan teka kata, saya jadi bersungguh-sungguh untuk mencari slogan yang terbaik dengan membaca pelbagai perkara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kemenangan itu membolehkan Nur Fatihah menerima wang tunai berjumlah RM500 selepas berjaya menjawab soalan dengan betul dan menghasilkan slogan yang menarik iaitu “Bahasa merentasi perbezaan, memupuk keragaman, mengembangkan kesepaduan”.
Tambahan, Nur Fatihah berkata, sementara menunggu panggilan kerja, dia meluangkan masa dengan menyertai dan menghantar penyertaan teka kata pada setiap minggu kerana keluarganya membeli Utusan Malaysia pada setiap hari.
Sementara itu, pemenang kedua teka kata terbaik, Siti Zaiton Mustapha, 38, yang memenangi wang tunai RM300 berkata, dia bersama dua anaknya teruja untuk bermain slogan yang dianjurkan itu kerana dapat mengasah minda untuk berfikir.
“Aktiviti seperti ini bagus kerana dapat meningkatkan daya berfikir terutamanya bagi anak-anak saya.
“Dengan adanya slogan ini, anak-anak sudah lupa dan tidak bermain telefon kerana leka untuk menyelesaikan teka kata tersebut,” katanya ketika dihubungi.
Peniaga wanita itu juga berkata, beliau mengetahui tentang peraduan itu kerana membeli akhbar Utusan Malaysia pada setiap hari sejak tiga bulan yang lalu.
Katanya, beliau berharap aktiviti seperti teka kata yang diselitkan di dalam akhbar Utusan Malaysia dikekalkan kerana bukan sahaja dapat mengisi masa terluang dengan perkara yang berfaedah malah dapat menarik minat dan mengasah minda anak-anak. – UTUSAN










