AMPANG JAYA: Polis menahan empat motosikal selepas didapati membuat pengubahsuaian dalam Operasi Motosikal dan Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (SUKE) dan Bukit Permai, di sini kelmarin.
Penahanan itu dilakukan menerusi operasi kira-kira pukul 11.30 malam susulan aduan orang awam mengenai masalah bunyi bising dari ekzos motosikal yang mengganggu ketenteraman penduduk.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, hasil dari operasi berkenaan, sebanyak empat motosikal ditahan kerana melakukan pengubahsuaian yang berlebihan pada pelbagai komponen sedia ada.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Selain itu, dalam operasi berkenaan, 104 saman dikeluarkan di atas kesalahan antaranya mengubah suai struktur kenderaan, kesalahan nombor pendaftaran, gagal pamer lesen memandu dan cukai jalan serta cermin sisi,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal agar tidak mengubah suai sebarang struktur sedia ada pada kenderaan sehingga membawa kepada pencemaran bunyi dan juga mengganggu ketenteraman awam.
“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya akan meneruskan operasi secara berterusan untuk membanteras pesalah lalu lintas yang sering mengabaikan peraturan jalan raya yang telah ditetapkan,” jelasnya. – UTUSAN