ALOR SETAR: Pembahagian kerusi Perikatan Nasional (PN) di negeri ini antara Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan dilakukan berdasarkan kekuatan setiap parti dalam gabungan itu.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, rundingan mengenai pembahagian tersebut sudah selesai, namun belum tiba masa untuk mengumumkan keputusan yang dicapai.
“Kuota agihan dalam PN Kedah selesai dengan aman tetapi tak boleh umum, embargo dahulu. Bila penamaan calon nanti tahulah. Pembahagian (kerusi) seimbang berdasarkan kekuatan, keupayaan, kesanggupan dan status quo masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Khemah, Meja dan Kerusi Kepada Majlis Ketua Kampung (MKK) di Wisma Darulaman di sini hari ini.
Terdahulu, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah memaklumkan kepada Utusan Malaysia bahawa beliau bercadang untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 28 Jun ini.
Mengulas perkara itu, Muhammad Sanusi berkata, beliau akan menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada 25 Jun ini bagi mendapatkan perkenan baginda sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) dapat diadakan.
“Saya kena dapat perkenan Tuanku Sultan dahulu. Jadi, pada 25 Jun saya cadang persembah kepada Tuanku Sultan cadangan daripada kerajaan negeri sempena Hari Wukuf yang bermaksud berhenti. Jadi berhentilah.
“Setelah cadangan itu (28 Jun) Tuanku perkenan, baru saya umum secara rasmi. Pembubaran terpulang kepada negeri masing-masing. Serentak tak serentak (hari pengundian) terserah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Tempoh matang DUN setiap negeri tak sama, Pulau Pinang 1 Ogos, Kelantan 26 Jun dan Kedah pula 4 Julai,” katanya.
Berkaitan dengan calon Menteri Besar, Muhammad Sanusi menegaskan bahawa pemilihan jawatan itu akan dilakukan dan dipersetujui di peringkat Pusat.
“Parti akan tentukan bukan saya, bukan parti negeri, setiausaha parti. PN akan tulis kepada Tuanku Sultan (siapa) calon sebagai Menteri Besar. (Sama ada) Pas atau Bersatu (kita) tengok siapa menang banyak,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi menyifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantik, Datuk Mohd. Isa Shafie merupakan wakil rakyat yang prihatin dan berjiwa rakyat.
“Saya kenal arwah pada tahun 1999. Masa itu tak ramai ADUN Pas dan kita bukan kerajaan. (Hidup) susah, arwah sanggup gadai gelang, rantai untuk berkhidmat kepada rakyat. Kereta rosak tak boleh nak perbaiki sebab tak ada duit. Buka pejabat pun sewa di kedai,” katanya.
Allahyarham Mohd. Isa, 69, yang menang Pilihan Raya Umum (PRU) pada 1999, 2004 dan 2018 menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.23 malam tadi di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Surau Al-Badru, Kampung Jering di Sik. –UTUSAN










