PETALING JAYA: Orang ramai berpeluang menyaksikan perkembangan terkini dalam industri sawit tempatan sekiranya hadir pada pameran pemindahan teknologi (TOT) Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang diadakan 6 Julai ini.
Program tersebut menurut Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir membolehkan pihaknya memperkenalkan teknologi inovatif untuk industri sawit yang dibangunkan oleh penyelidiknya.

“MPOB menawarkan teknologi dalam industri sawit yang mempunyai potensi dan nilai pengkomersialan untuk dimanfaatkan oleh penggiat industri dan usahawan tempatan.
“TOT merupakan acara tahunan MPOB yang bertujuan untuk menghebahkan teknologi dan perkhidmatan terkini hasil daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D) MPOB kepada usahawan tempatan dan pihak yang berminat untuk meneroka peluang perniagaan berasaskan teknologi dalam industri sawit,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, TOT 2023 akan membuka peluang perniagaan kepada usahawan industri mikro, kecil dan sederhana tempatan menerusi pengkomersialan teknologi yang ditawarkan MPOB.
Menurut beliau, MPOB komited menjalankan aktiviti R&D bagi menghasilkan teknologi dan inovasi baharu yang memberi manfaat kepada industri sawit negara.
“Sehingga tahun 2022, sejumlah 712 teknologi dan 194 perkhidmatan telah dihasilkan melalui aktiviti R&D untuk tujuan pengkomersialan dan diguna pakai oleh pihak industri dan usahawan.
“Teknologi yang dibangunkan oleh MPOB merangkumi keseluruhan spektrum industri sawit daripada bahan tanaman kepada produk makanan dan bukan makanan berasaskan sawit,” katanya.

Rakan industri, usahawan dan orang ramai dipelawa mengunjungi pameran TOT MPOB 2023 dan berinteraksi dengan pempamer di Dewan Sawit, Ibu Pejabat MPOB Bangi mulai pukul 11.30 pagi hingga 5 petang dan sertai sesi teh tarik (sesi perkongsian pengkomersialan teknologi MPOB dan pembiayaan perniagaan) bermula pukul 2.15 petang. Masuk adalah percuma untuk semua pelawat.

Untuk maklumat lanjut mengenai TOT MPOB 2023, sila layari portal TOT di tot.mpob.gov.my.-utusan










