Pegawai polis wanita hina anggota ditahan 

Pegawai polis wanita hina anggota ditahan 

VIDEO tular yang memaparkan pegawai polis wanita mencemuh dan menghina anggota polis berpangkat bawahan di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Khamis lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan pegawai polis wanita yang terbabit dalam kejadian mencemuh dan menghina anggota polis pangkat bawahan di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Khamis lalu, akhirnya ditahan polis.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pegawai wanita itu ditahan awal pagi tadi bagi melengkapkan siasatan berhubung kes berkenaan.

“Wanita itu akan diberi jamin petang ini selepas melengkapkan keterangannya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil,” katanya di sini hari ini.

Utusan Malaysia difahamkan pegawai berpangkat Inspektor berkenaan bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman.

Sementara itu, Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf ketika dihubungi Utusan Malaysia memaklumkan, tindakan lanjut di peringkat jabatan juga sedang diambil.

Semalam, suspek yang juga penjawat awam itu sudah memberikan keterangan di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Jumaat lalu, tular video memaparkan seorang wanita didakwa mengeluarkan kata-kata berbentuk hinaan kepada anggota polis dalam kejadian dipercayai berlaku di Gombak.

Video berdurasi 25 saat itu memaparkan individu berkenaan dipercayai merupakan seorang pegawai polis meninggikan suara dengan mengatakan anggota polis berkenaan tidak layak menegurnya.

Hari ini, tular satu lagi video membabitkan pegawai polis wanita itu di kawasan parkir beli-belah di Brickfields. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN