Pasar daif perlu dinaik taraf

Pasar daif perlu dinaik taraf

KEADAAN Pasar Simpang Empat, Hutan Melintang, Perak yang uzur selain bau sampah yang menyebabkan peniaga dan pelanggan tidak selesa. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Peniaga pasar Simpang Empat, Hutan Melintang di sini merayu kerajaan membaik pulih atau menaik taraf bangunan pasar itu yang sudah usang sehingga mengalami kerosakan pada beberapa strukturnya.

Antaranya kerosakan pada bumbung, siling pecah selain peniaga berdepan dengan bau busuk dari tempat buang sampah yang terletak di bahagian belakang bangunan pasar itu.

Kata peniaga, keadaan itu menimbulkan rasa tidak selesa bukan sahaja kepada mereka tetapi pelanggan yang datang ke situ.

Seorang peniaga santan, Amirul Rashid berkata, pasar tersebut adalah bangunan lama yang sudah usang menyebabkan ada bahagian rosak seperti atap bocor dan siling pecah.

Katanya, selain itu, keadaan longkang juga tidak diselenggara dengan baik selain tandas yang kotor.

“Saya sudah 15 tahun berniaga di sini setiap hari berdepan dengan keadaan tidak selesa disebabkan bangunan pasar ini sudah lama.

“Keadaan ini sudah tentu menyebabkan kami tidak selesa, begitu juga dengan pelanggan. Jika keadaan ini berterusan, dibimbangi pelanggan tak mahu lagi datang ke sini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Seorang peniaga ikan yang enggan namanya disiarkan berkata, bapanya sudah berniaga berdepan dengan rasa tidak selesa disebabkan bangunan pasar itu sudah lama.

Katanya, bangunan pasar itu perlu dinaik taraf untuk keselesaan peniaga dan pelanggan.

“Pasar ini sudah lama, jadi banyak bahagian yang sudah rosak seperti bumbung bocor. Namun yang menjadi isu besar kami di sini ialah keadaan longkang yang tidak diselenggara juga sampah yang tidak dikutip lebih kerap sehingga menimbulkan bau busuk.’

“Sudah tiba masanya bangunan pasar ini dinaik taraf apatah lagi daerah ini sudah menampakkan perubahan dari segi ekonomi dan kemasukan orang luar selepas siapnya Jambatan Bagan Datuk- Kampung Sejagop,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×