KUALA LUMPUR: Cadangan meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sedang diteliti.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ram Karpal Singh berkata, ia berada di bawah jadual Akta 700 yang mana satu nota jemaah menteri dikemukakan pada 19 April lalu bagi membincangkan hala tuju isu penerapan ke dalam EAIC.
“Satu jawatankuasa ditubuhkan dan selain itu pada 2 Mei tahun ini, satu mesyuarat yang dipengerusikan menteri dan dihadiri Pesuruhjaya EAIC, SPRM dan AGC (Jabatan Peguam Negara) antara lain telah diadakan bagi mendapatkan pandangan dan cadangan berkepentingan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung perkara ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu. Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) meminta kerajaan menyatakan apakah Kerajaan Madani mahu meletakkan SPRM di bawah EAIC sebagai langkah untuk benar-benar mewujudkan badan bebas serta mempunyai kawalan tatatertib efektif dan berkesan bagi meningkatkan integriti dalam kalangan penguatkuasa serta agensi penguatkuasaan.
Menurut Ram Karpal, satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat oleh Jabatan Perdana Menteri bagi meneliti pandangan dan cadangan daripada semua pihak serta agensi. – UTUSAN










