Nelayan maut dilanggar bot pelancongan - Utusan Malaysia

Nelayan maut dilanggar bot pelancongan

SEORANG nelayan yang cedera dalam kemalangan melibatkan dua buah bot di perairan Pulau Perhentian, Besut, Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Seorang nelayan maut setelah bot dinaiki bersama 12 yang lain dilanggar sebuah bot pelancong ketika pulang daripada aktiviti mencandat sotong di perairan Pulau Perhentian dekat sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Azrol Anuar Nor, berkata, nelayan terlibat, Rahmat Mat Ariffin, 43, dari Kampung Nail, Kuala Besut maut dalam kemalangan pada pukul 8.15 pagi itu.

Menurutnya, kemalangan itu turut mengakibatkan dua penumpang bot nelayan tersebut cedera parah dan seorang cedera ringan manakala yang lain terselamat.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika bot nelayan Kelas A itu dalam perjalanan ke Jeti Kampung Nelayan, Pulau Perhentian selepas balik daripada aktiviti mencandat.

“Setibanya di lokasi, sebuah bot gentian kaca dari Pantai Panjang, Pulau Perhentian menuju jeti sebuah resort di Pulau Perhentian Besar telah melanggar bot nelayan terbabit.

“Pelanggaran menyebabkan bot nelayan itu bocor lalu tenggelam dan meragut nyawa seorang kru selain dua lagi yang cedera parah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau menjelaskan, kesemua mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian untuk rawatan lanjut manakala mayat Rahmat dihantar ke Hospital Besut.

Katanya lagi, bot pelancong tersebut yang membawa 12 penumpang termasuk tiga warga asing dan dua kanak mengalami kerosakan kecil dengan kesemua tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes kemalangan ini telah dirujuk kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk siasatan lanjut.

“Pengusaha bot dinasihatkan memastikan bot dalam keadaan baik, mengikut laluan yang betul, menyediakan jaket keselamatan dan ada lesen pengendalian bot,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya