Nelayan didakwa abai anak sehingga terhidu dadah

Nelayan didakwa abai anak sehingga terhidu dadah

KOMPLEKS Mahkamah Alor Setar di Jalan Suka Menanti, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang bapa dihadapkan ke mahkamah sesyen, hari ini atas pertuduhan melakukan pengabaian terhadap anak lelakinya hingga menyebabkan kanak-kanak tersebut yang baru berusia setahun menghidu dadah, pada pertengahan bulan ini.

Tertuduh berusia 26 tahun yang bekerja sebagai nelayan bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan pengabaian dengan cara meninggalkan botol dan straw yang disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine dan amphetamine hingga menyebabkan anaknya menghidu dadah tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Tepi Laut, Kuala Kedah antara 6.30 pagi hingga 2.30 petang pada 14 Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Nor Syaliati Mohd. Sobri mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu pihak pendakwaan tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap lelaki tersebut memandangkan mangsa dalam kes itu merupakan anak kandungnya.

Selain itu, Nor Syaliati berhujah, terdapat peluang yang tinggi untuk tertuduh mengganggu mangsa serta isterinya sendiri.

Tertuduh kemudian ditanya sama ada terdapat mana-mana individu yang datang untuk menjaminnya sebelum kembali bertanya jika pegawai penyiasat ada memaklumkan mengenai kes tersebut kepada isterinya.

Anggota polis yang melakukan pemeriksaan di luar kamar untuk melihat sama ada isteri tertuduh hadir mengesahkan kepada mahkamah bahawa tiada seorang pun ahli keluarganya hadir.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin. Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Julai depan sementara menanti laporan patologi urin kanak-kanak tersebut. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya