PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menarik semula dua rayuannya bagi mendapatkan 19 dokumen berkaitan transaksi kewangan melibatkan firma pelaburan Goldman Sachs dan bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya.
Ekoran perkembangan itu, Mahkamah Persekutuan membatalkan kedua-dua rayuan bekas Perdana Menteri itu tanpa mendengar meritnya selepas pihak pendakwaan tidak mengemukakan bantahan.
Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang bersidang bersama-sama Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah dan Datuk Zabariah Mohd. Yusof.
Terdahulu, peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan mewakili Najib memaklumkan, pihaknya menarik balik kedua-dua rayuan utama itu. Ujar Muhammad Shafee, rayuan ditarik balik tanpa prejudis bagi membolehkan pihaknya mengemukakan semula permohonan di semua peringkat mahkamah apabila saksi-saksi berkenaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaran kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sementara itu, pasukan pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar memaklumkan pihaknya tidak membantah tindakan Najib menarik balik rayuan kerana perayu mempunyai hak untuk memohon semula pada perbicaraan kelak.
Najib sepatutnya merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuannya mendapatkan 19 dokumen itu untuk digunakan pada perbicaraan kes 1MDB yang sedang dihadapinya. Kes itu disambung pada 7 Julai ini.
Pada 8 Disember 2022, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md. Said menolak rayuan Najib selepas berpuas hati dokumen berkaitan dakwaan dana yang diterima oleh keluarga Zeti tidak relevan dengan pertuduhan yang dihadapinya (Najib).
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Nordin Hassan berpendapat, dokumen itu tidak akan membantu perayu (Najib) dalam pembelaannya untuk membuktikan kekurangan pengetahuan tentang transaksi dalam akaun banknya.
Pada 12 Julai 2021, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang ketika itu Hakim Mahkamah Tinggi menolak dua permohonan Najib meminta pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes 1MDBnya mendedahkan dokumen perbankan yang dikaitkan dengan keluarga Zeti.
Dalam permohonan itu, Najib mendakwa keluarga bekas Gabenor BNM itu menerima wang daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low. Najib menyatakan, dokumen perbankan itu relevan untuk pembelaan dalam perbicaraannya bagi pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB bertujuan menunjukkan integriti Zeti ketika itu telah terjejas serta mencabar kredibilitinya.
Mengenai permohonan Najib untuk mendapatkan keterangan saksi yang direkodkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Hakim Collin berkata di bawah undang-undang, kenyataan itu adalah dokumen rahsia. Beliau berkata alasan tidak mendedahkan keterangan saksi adalah untuk mengelak bahaya sebenar terhadap saksi berkenaan.
Mengenai permohonan Najib untuk mendapatkan telefon bimbit dan kata laluan bekas jurubank Sachs Goldman, Tim Leissner, hakim itu berkata barang-barang itu tidak berada dalam simpanan pihak pendakwaan dan mahkamah tidak akan bertindak secara sia-sia.
Najib memfailkan permohonan pada 24 Mac 2021 untuk meminta pihak pendakwaan memberikan penyata perbankan daripada beberapa syarikat dipercayai mempunyai kaitan dengan Jho Low dan keluarga Zeti dalam kes 1MDBnya. Syarikat-syarikat itu termasuk Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, ACME Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd dan Central Holdings Ltd.
Beliau juga memfailkan permohonan kedua pada 7 April 2021 untuk mendapatkan perjanjian penyelesaian sulit antara kerajaan dan Goldman Sachs Group pada 2020 dan transkrip atau laporan forensik berhubung telefon bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, Tim Leissner.
Najib kini dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan atas kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd. – UTUSAN