BAITULMUQQADIS: Pihak berkuasa Israel menahan empat pengawal Masjid Al-Aqsa dalam satu serbuan pada malam Sabtu yang menyasarkan ruang solat lama di dalam kawasan masjid suci itu.
Menurut Pentadbiran Wilayah Baitulmuqaddis yang bernaung di bawah Pihak Berkuasa Palestin, mereka yang ditahan dikenalpasti sebagai Mohammad Arbash, Ramzi Al-Zaanin, Basem Abu Juma dan Iyad Odeh.
Agensi berita Wafa melaporkan beberapa pengawal lain serta seorang anggota bomba turut disoal siasat di lokasi kejadian oleh anggota keselamatan Israel.
Sekitar tengah malam Sabtu, pasukan keselamatan Israel menyerbu ruang solat lama di Al-Aqsa yang juga sebuah kawasan bawah tanah di bawah Masjid Qibli dan merosakkan beberapa bahagian dalamannya termasuk memecah masuk ke kabinet simpanan dan melakukan pemeriksaan menyeluruh, menurut laporan Wafa.
Pentadbiran Baitulmuqaddis menyifatkan tindakan itu sebagai sebahagian daripada usaha Israel untuk mengambil alih kawalan pentadbiran Masjid Al-Aqsa dan melemahkan pengaruh Jabatan Wakaf Islam di Baitulmuqaddis.
Masjid Al-Aqsa baru sahaja dibuka semula selepas hampir seminggu ditutup sepenuhnya susulan perintah darurat yang dikaitkan dengan perang yang sedang berlangsung antara Israel dan Iran.
Menurut Wafa, pihak berkuasa Israel kini membenarkan umat Islam Palestin dan dari luar memasuki kawasan masjid di bawah pengawasan dan peraturan ketat.










