KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai melampau selain mempersoal tindakan Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyatakan kesediaan untuk bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN), tidak lama lagi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua AMK, Adam Adli Abd. Halim berkata, Muda semakin memperlihat sisi buruk dengan kerakusan mahu mencabar semua pihak tanpa memiliki asas kukuh.
“Muda nak masuk gelanggang PRN dan bertanding, Syed Saddiq kena faham dan satu soalan kalau boleh dia jawab, dia nak cabar siapa dalam PRN ini? Apakah dia nak cabar Kerajaan Negeri Selangor, Terengganu atau Pulau Pinang?
“Kalau dia nak cabar semua orang, dia tak boleh jadi rakan kongsi. Itulah yang berlaku. Apa mesej yang dia nak sampaikan kepada rakyat?
“Apakah dia nak cakap, misalnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu perlu ditumbangkan jika mereka sertai PRN? Kena faham, kita masuk PRN bukan nak kacau undi orang, tetapi nak tubuhkan kerajaan. Tetapi apakah Syed Saddiq berani jawab soalan saya ini?” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, menerusi laporan Utusan Malaysia, Syed Saddiq berkata, biarpun mengakui tindakan ‘berperang’ secara solo pada PRN meletakkan parti itu dalam risiko, pihakya bersedia menerima sebarang keputusan sama ada menang atau sebaliknya.
Di samping itu, Muda ingin menjadi wake up call kepada parti Kerajaan Perpaduan hari ini kerana dilihat terlalu selesa dengan sokongan majoriti 148 ahli Parlimen.
Adam Adli berkata, Muda sewajarnya berhenti daripada mengulang bicara soal retorik politik kerana dari segi peluang kedudukan dan jawatan, sebelum ini juga ada kalangan ahli parti itu diberi peluang memegang jawatan di peringkat kerajaan Persekutuan.
“Tak perlu cakap pasal retorik politik, dari segi tindak tanduk, tiada kena-mengena pun dengan apa yang dia nak persembahkan. Sebab itulah saya katakan Muda ini sudah melampau.
“Kita selama ini okey dengan kritikan, tak ada masalah dan tidak melenting pun jika dihentam. Bukan tiada ahli Muda yang pegang jawatan, jadi kenapa tiba-tiba nak jadi pihak yang ‘terpaling betul’ sahaja?
“Cakap saja dengan jujur, siapa sebenarnya yang Muda nak cabar sangat dalam PRN ini?” soalnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, tiada istilah pertembungan Pakatan Harapan (PH) dengan mana-mana parti lain menerusi PRN kali ini.
“Kita tak bertembung dengan mana-mana parti pun apatah lagi dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang tentu-tentunya di Sarawak. Ini kerana di peringkat negeri, kita cuma nak pastikan ada kestabilan kerajaan negeri yang betul,” katanya. – UTUSAN










